Sekilas
- Tren Monorel Kuala Lumpur terhenti antara Stesen Medan Tuanku dan Chow Kit akibat gangguan teknikal, menyebabkan kelewatan perjalanan petang tadi.
- Rapid Rail dan Jabatan Bomba berjaya memindahkan 373 penumpang dengan selamat, manakala seorang wanita berusia 58 tahun pengsan tetapi sudah pulih selepas rawatan.
- Tren ulang-alik dan bas ulang-alik disediakan sebagai langkah sementara, dan penumpang dinasihatkan mengikuti perkembangan terkini melalui media sosial Rapid KL.
Sebuah tren di laluan Monorel Kuala Lumpur dilaporkan terhenti akibat gangguan teknikal di antara Stesen Medan Tuanku dan Chow Kit, sekali gus menyebabkan kelewatan perjalanan petang tadi.
Rapid Rail Sdn Bhd dalam kenyataan memaklumkan pegawai transit yang berada di dalam tren berjaya menenangkan keadaan dan membantu proses pemindahan penumpang.
Turut tular beberapa video menunjukkan penumpang berjalan berpindah dari satu tren ke tren lain dengan bantuan kakitangan Rapid Rail.
Seorang pengguna di platform X turut berkongsi pengalaman cemasnya dan mengaku terkejut kerana “terperangkap dan kemudian diselamatkan” ketika menaiki monorel berkenaan.
Rapid Rail juga tampil memohon maaf atas kesulitan yang dialami penumpang dan memaklumkan pasukan kejuruteraan sudah berada di lokasi untuk kerja-kerja pembaikan bagi memulihkan operasi secepat mungkin.
Dalam pada itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur mengesahkan 373 penumpang berjaya dipindahkan dengan selamat.
Bagaimanapun, seorang wanita berusia 58 tahun dilaporkan pengsan ketika kejadian.
“Wanita berkenaan kembali sedar selepas menerima rawatan daripada pegawai Kementerian Kesihatan sebelum diserahkan kepada pihak kementerian untuk rawatan susulan,” menurut jabatan itu.
Sebagai langkah sementara, tren ulang-alik diaktifkan antara KL Sentral–Hang Tuah dan Hang Tuah–Bukit Nanas, manakala bas ulang-alik turut disediakan dari Titiwangsa ke Bukit Nanas.
Penumpang dinasihatkan untuk mengikuti perkembangan terkini melalui saluran media sosial Rapid KL.
Sumber: Free Malaysia Today