Skip to main content

Viral

"Mummy Sign Off Dulu, 3 Tahun Jadi Menteri Pendidikan, 3 Tahun Jugalah Hadap Anak-Anak SPM" - Fadhlina Sidek

fadhlina_spm

Sekilas

  • Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkongsi rasa syukur dan lega selepas anak perempuannya, Maryam Fadhilah, menamatkan kertas terakhir peperiksaan SPM 2025.
  • Fadhlina menggambarkan detik penuh emosi apabila melihat anak-anak sujud syukur dan melaungkan takbir selepas tamat peperiksaan, sambil mengakui cabaran menjadi ibu dan Menteri Pendidikan serentak.
  • Beliau turut menghargai sokongan ibu-ibu lain yang menunggu anak-anak di luar dewan peperiksaan dan berkongsi kejayaan anak-anaknya dalam hafazan al-Quran dan keputusan SPM sebelum ini.

“Alhamdulillah. Selesai sudah kertas terakhir SPM hari ini," itu luahan penuh rasa syukur Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, selepas anak perempuannya, Maryam Fadhilah Mohd Fadzli, menamatkan kertas terakhir peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2025.

Fadhlina yang setia menemani anak ketiganya pada saat-saat akhir bergelar pelajar sekolah menengah berkongsi perasaan lega, sebak dan syukur menerusi hantaran di media sosial.

Menurutnya, perjalanan panjang itu bukan sahaja menguji ketahanan fizikal dan emosi anak-anak, malah turut menyentuh jiwa seorang ibu.

Detik paling menyentuh perasaan, katanya, apabila melihat Maryam dan rakan-rakan pelajar melakukan sujud syukur sebaik sahaja peperiksaan tamat.

“Mummy dan mak-mak tunggu di luar dewan dengan perasaan yang bercampur baur. Mengenang anak-anak yang selesai perjuangan mereka. Ketika selesai sahaja kertas-kertas dikutip oleh pengawas dan dewan dibuka untuk anak-anak keluar, kami emak-emak terus sebak,” kongsinya.

Suasana menjadi semakin hening apabila kelihatan para pelajar melaungkan takbir dan tahmid sebagai tanda berakhirnya satu fasa besar dalam hidup mereka.

“Betapa hening perasaan menyaksikan anak-anak sujud syukur dan melaungkan takbir serta tahmid tanda usainya kertas terakhir mereka.

“Empangan air mata Maryam pecah laju. Nampak sahaja mummy, dia terus meluru memeluk dengan lama sekali,” tulisnya lagi.

Sebagai seorang ibu, Fadhlina mengakui pada saat itu, apa yang diperlukan anaknya hanyalah pelukan, sokongan dan doa. Segala usaha diserahkan sepenuhnya kepada Allah.

“Masya-ALLAH anak, I’m so proud of you baby girl. You slay.

“Alhamdulillah. Mummy pun menangis juga kerana mummy memang serahkan Maryam kepada ALLAH dan Rasul. Semoga ALLAH SWT mengasihi Maryam sepanjang peperiksaan berlangsung,” katanya.

Mengimbas kembali tempoh tiga tahun kebelakangan ini, Fadhlina mengakui perjalanan tersebut bukan mudah, apatah lagi apabila peranannya sebagai Menteri Pendidikan berjalan seiring dengan tanggungjawab sebagai ibu kepada calon SPM.

“Mummy sign off dulu. Tiga tahun menjadi Menteri Pendidikan, tiga tahun jugalah menghadap anak-anak SPM. Pengsan. Dugaan betul.

“Selepas Maryam, mummy rehat lama sedikit. Seorang anak Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), mummy perlu perjuangkan banyak lagi manakala seorang lagi yang bongsu masih jauh lagi perjalanan.

“Maknanya mummy boleh fokus yang kecil pula. Alhamdulillah. Selesai tugas mummy untuk SPM. Tuhan sahaja tahu betapa leganya mummy apabila Maryam habis kertas terakhir ini,” luahnya.

Mengakhiri perkongsian, Fadhlina menitipkan kata penghargaan buat semua ibu yang sama-sama menunggu anak di luar dewan peperiksaan.

“Kepada semua mak-mak yang bersama di dewan peperiksaan tadi, kita mak-mak memang slay,” tulisnya.

Untuk rekod, sebelum ini Fadhlina pernah berkongsi kegembiraan apabila Maryam Fadhilah berjaya menamatkan hafazan 30 juzuk al-Quran pada 2 Januari 2024 dan khatam dalam Majlis Khatam al-Quran sekolah pada November lalu.

Beliau juga pernah meraikan kejayaan anak sulungnya, Thurayya Fadhilah, yang memperoleh keputusan 9A dalam SPM 2022, manakala anak keduanya, Sarah, mencatat 8A dalam SPM 2024.

Satu perkongsian yang menggambarkan hakikat bahawa di sebalik kejayaan anak-anak, berdirilah seorang ibu yang tidak pernah berhenti berdoa, menyokong dan berkorban.

Must-Watch Video

Advertisement