Skip to main content

Filem

Muzammer Rahman Ambil Masa Panjang, Akui Sukar Nak Olah Skrip Melibatkan Isi Hati Lelaki - "Mereka Jarang Bercakap Tentang..."

Muzammer Rahman Akui Sukar Olah Skrip

Penulis Skrip Filem 3 Hajat, Muzammer Rahman akui dia menghadapi detik-detik sukar dalam menghasilkan karya yang melibatkan isi hati lelaki kerana golongan tersebut kurang menzahirkan perasaan mereka melalui perkataan.

Menurut Muzammer, perkara tersebut telah menyebabkan dia mengambil masa yang amat panjang untuk menghasilkan skrip yang sesuai dengan keinginannya.

Advertisement

"Saya rasa perkara yang paling mencabar adalah tentang bagaimana ingin menggarap sesebuah karya yang melibatkan hubungan antara lelaki dan lelaki kerana kebiasaanya mereka jarang bercakap tentang masa lalu, kemaafan dan perkara yang tidak terungkap. Memang susah dan ia mengambil masa," katanya ketika ditemui Gempak.

Walaubagaimanapun, dia menarik nafas lega sebaik sahaja mendengar khabar bahawa Zul Huzaimy merupakan pengarah bagi filem tersebut kerana dia amat yakin dengan kebolehan dan kehebatan Zul dalam merealisasikan sesebuah karya.

"Namun, selepas saya dapat tau Zul Huzaimy yang akan menjadi pengarah, saya rasa lega sebab saya pernah menonton karya Zul dulu dan saya percaya dia sangat jelas dan faham apa yang dia nak. Dia juga tau apa yang diperlukan untuk skrip. Saya amat tersentuh sebab banyak perkara yang saya tulis telah berjaya divisualkan," tambahnya.

Muzammer berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Tayangan Perdana 3 Hajat pada Selasa lepas.

3 Hajat mengisahkan Awang (Eman Manan), seorang bekas banduan yang menghidap penyakit kronik dan bertekad menunaikan tiga hajat terakhirnya bersama anak tunggalnya, Tawfiq (Amerul Affendi). Namun, perjalanan mereka tidak mudah apabila hubungan ayah dan anak sering dibayangi konflik dan luka masa silam.

Filem penuh emosi ini dijadual menemui penonton di 70 pawagam seluruh negara bermula 2 Oktober 2025, menjanjikan sebuah pengalaman sinematik sarat dengan kasih sayang, penyesalan, pengharapan dan nilai kekeluargaan.

Menghimpunkan barisan pelakon hebat tanah air, 3 Hajat menampilkan lakonan mantap daripada Eman Manan, Amerul Affendi, Iman Aneesa dan ramai lagi.

Must-Watch Video

Advertisement