Sekilas
- Kerjasama antara Kolej Antarabangsa Goon (GIC) dan Universitas Gadjah Mada (UGM) membuka peluang pelajar Malaysia dari seluruh negara melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan kesihatan di Indonesia.
- GIC menyasarkan pengambilan 100 pelajar untuk program ini pada Januari depan, dengan tawaran biasiswa kepada pelajar cemerlang dalam Program Asasi Sains.
- Kerjasama ini juga merangkumi mobiliti pelajar dan program akademik masa depan, serta memperkukuh hubungan pendidikan antara Malaysia dan Indonesia.
Pelajar Malaysia yang bercita cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan kesihatan kini mempunyai satu lagi pilihan menerusi kerjasama strategik antara Kolej Antarabangsa Goon (GIC) dan Universitas Gadjah Mada (UGM), Indonesia.
Bukan sahaja melibatkan peluang melanjutkan pengajian, kerjasama itu turut merangkumi biasiswa kepada pelajar terpilih, selain membuka ruang kepada mobiliti pelajar dan program akademik pada masa hadapan.
Berikut lima perkara menarik mengenai kerjasama GIC dan UGM yang perlu diketahui.
Terbuka kepada pelajar seluruh Malaysia
Inisiatif berkenaan memberi fokus kepada peluang melanjutkan pengajian di UGM untuk pelajar dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Antara bidang pengajian yang berpotensi diketengahkan termasuk Sarjana Muda Perubatan (MBBS), Sarjana Muda Pergigian, Sarjana Muda Farmasi dan Sarjana Muda Perubatan Veterinari.
Pengarah GIC, P. Prabagaran berkata, kerjasama tersebut bertujuan menyediakan laluan pendidikan lebih jelas kepada pelajar tempatan yang mahu meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Kami mahu pelajar memahami bahawa terdapat pelbagai laluan untuk mereka melanjutkan tahap pendidikan sedia ada ke tahap yang lebih tinggi. Melalui kerjasama ini, kami mengharapkan peluang pendidikan ini akan lebih mudah diakses.
“GIC juga akan menawarkan peluang biasiswa kepada pelajar terpilih yang mengikuti Program Asasi Sains. Inisiatif ini bagi memberikan sokongan tambahan kepada pelajar yang menunjukkan pencapaian akademik yang cemerlang,” katanya.
Sasarkan 100 pelajar Januari depan
Menerusi kerjasama berkenaan, GIC menyasarkan pengambilan seramai 100 pelajar untuk melanjutkan pengajian ke UGM pada Januari tahun depan.
Usaha itu turut memberi tumpuan kepada penyediaan laluan yang lebih mudah difahami oleh pelajar Malaysia sebelum meneruskan pengajian dalam bidang pilihan masing masing.

Pelajar cemerlang berpeluang menerima biasiswa
Selain membuka laluan ke UGM, GIC turut menawarkan peluang biasiswa kepada pelajar terpilih yang mengikuti Program Asasi Sains.
Peluang tersebut diberikan khususnya kepada mereka yang menunjukkan pencapaian akademik cemerlang serta mempunyai potensi untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Kira kira 70 pelajar Malaysia sudah berada di UGM
Kerjasama berkenaan turut disambut baik Dekan Jabatan Anatomi UGM, Prof. Teguh Budipitojo yang melihatnya sebagai peluang untuk memperkukuhkan hubungan pendidikan antara Malaysia dan Indonesia.
“Kami berharap kerjasama ini dapat memberikan pelajar Malaysia akses lebih luas kepada peluang akademik, maklumat serta pengalaman pembelajaran antarabangsa di UGM.
"Ketika ini, terdapat kira-kira 70 pelajar Malaysia di Jabatan Anatomi UGM. Saya percaya melalui kerjasama ini, jumlah pelajar akan bertambah. Ini sangat baik untuk sector Pendidikan Malaysia-Indonesia,” katanya.
Bukan hanya peluang sambung belajar
Kerjasama antara kedua dua institusi itu juga berpotensi berkembang lebih jauh dan tidak hanya tertumpu kepada kemasukan pelajar Malaysia ke UGM.

Antara bidang yang boleh diteroka termasuk mobiliti pelajar, aktiviti pelajar, program akademik serta bentuk kerjasama institusi lain, tertakluk kepada perbincangan dan persetujuan kedua dua pihak.
Inisiatif tersebut diharapkan dapat menjadi asas kepada pelaksanaan lebih banyak program pada masa hadapan, sekali gus memperkukuh pengalaman pembelajaran, pembangunan pelajar dan hubungan akademik antara Malaysia dengan Indonesia.