Sekilas
- Vokalis Nastia, Leo Azman, mengesahkan kumpulan itu menghadapi konflik akibat pengaruh orang ketiga yang baru dalam lingkungan mereka.
- Leo menafikan kumpulan berpecah dan menjelaskan ahli yang tidak bersama mereka sejak sebelum Hari Raya masih dijemput ke konsert akan datang.
- Nastia akan mengadakan konsert eksklusif "Nastia Project: Soul Journey" pada 16 Oktober 2026 di Zepp Kuala Lumpur dengan kolaborasi bersama Fynn Jamal dan Amir Jahari.
Vokalis Nastia, Leo Azman mengakui kumpulannya kini berdepan konflik susulan pengaruh orang ketiga.
Menurut Leo, individu tersebut merupakan seseorang yang agak terdekat dengan kumpulan itu dan dipercayai menjadi antara punca keretakan kumpulan berkenaan.
“Pihak ketiga itu bukanlah orang yang terlalu rapat. Kalau hendak dikatakan dekat, boleh juga dikatakan dekat, tetapi orang ini baru berada dalam lingkungan atau ‘circle’ Nastia.
“Dia bukan orang yang sudah lama mengikuti Nastia. Jadi, bagi saya, perkara itu menjadi antara punca mereka berubah hati.
“Kadang-kadang dalam adik-beradik pun mesti ada ketidakfahaman. Bagi saya, perkara itu biasa sahaja. Sebenarnya, tidak ada apa-apa pergaduhan atau maki hamun.
"Cuma masing-masing mengambil jalan sendiri buat sementara waktu ini. Untuk ke depan, kita tidak tahu bagaimana,” katanya kepada Gempak.
Leo berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Nastia Project: Soul Journey di St. Giles Mid Valley, Kuala Lumpur pada Rabu.
Dalam pada itu, Leo menafikan kumpulan mereka telah berpecah, sebaliknya menjelaskan mereka hanya berdepan ketidakfahaman buat masa ini.
“Kami tidak berpecah pun. Mereka sudah tidak bersama kami sejak sebelum Hari Raya tahun ini. Saya juga sudah beritahu mereka mengenai konsert ini dan kami memang menjemput mereka. Cuma untuk tarikh-tarikh berkenaan, kami belum pasti mengenai kelapangan mereka.
“Mereka juga boleh kata keadaan ini sedikit sebanyak mempengaruhi mereka sehingga tawar hati untuk menyertai konsert ini. Ada pihak ketiga,” ujarnya.
Sementara itu, pemain gitar Nastia, Rudy Iskandar berkata mereka menghormati keputusan ahli yang memilih untuk membawa haluan masing-masing.
“Kami tidak sehaluan dalam perkara ini. Kami menghormati keputusan mereka dan tetap berdoa supaya ada jalan dan ruang untuk Nastia pada masa akan datang.
“Ada pihak ketiga yang mencucuk. Kami boleh cerita sampai situ sahaja. Ini bukan cerita lama, tetapi perkara yang berlaku baru-baru ini, pada awal tahun ini.
“Ruang untuk kembali bersama masih ada kerana kami masih berhubung. Kami juga masih bekerja bersama untuk projek selain Nastia,” kongsinya.
Dalam perkembangan lain, Nastia bakal menganjurkan konsert eksklusif, Nastia Project: Soul Journey yang akan berlangsung pada 16 Oktober 2026 di Zepp Kuala Lumpur.
Konsert tersebut turut menampilkan kolaborasi istimewa bersama Fynn Jamal dan Amir Jahari.
Sekadar info, Nastia sebelum ini dianggotai oleh Leo Azman, Rudy Iskandar, Jenk dan Zach Zainal.