Skip to main content

Filem

Norman KRU Akui 3 Hajat Bukan Sekadar Filem, Tapi Perjalanan Hidup Peribadi - "Ada Momen Tertentu Yang Saya..."

Norman Bawa Sentuhan Peribadi 3 Hajat

Penerbit filem 3 Hajat, Datuk Norman Abdul Halim mengakui karya terbarunya itu cukup dekat dengan jiwa kerana ada momen peribadi yang turut diselitkan dalam jalan cerita.

Menurutnya, 3 Hajat adalah genre filem yang telah lama diimpikannya, malah naskhah tersebut turut membawa sentuhan peribadi kerana mengangkat pengalaman serta momen yang pernah dilalui bersama ayah.

Advertisement

"Kami sendiri dahagakan sebuah filem dengan konsep drama dan ia agak bersifat peribadi sebab ada momen tertentu yang saya sendiri lalui terutama perasaan saya dengan ayah saya. Ia sebenarnya sebuah perjalanan peribadi. Tanpa Astro Shaw mungkin agak sukar ntuk membawa filem ini ke layar perak," katanya ketika ditemui Gempak.

Norman berkata demikian ketika ditemui pada Sidang Media Tayangan Perdana 3 Hajat baru-baru ini.

Mengulas mengenai lokasi penggambaran, Norman menjelaskan naskhah ini mengangkat keindahan Terengganu sebagai latar utama, selain menekankan aspek budaya yang ditulis secara teliti oleh penulis skrip, Muzammil.

"Filem ini kita angkat latar belakang budaya dan ia cukup detail bila kita teliti skrip dari Muzammil. Kami sendiri bukan orang Terengganu, hanya Eman Manan saja yang memang berasal dari sana. Tapi saya nak pastikan jiwa cerita ini dekat. Kalau buat di Kuala Lumpur, rasanya tidak akan dapat rasa seindah yang boleh disampaikan," jelasnya.

Bagi Norman, pemilihan Terengganu bukan sekadar lokasi, sebaliknya satu cara untuk menonjolkan keistimewaan bahasa, budaya dan jati diri masyarakat Melayu serta agama Islam.

"Terengganu ada keistimewaan sendiri dari segi bahasa dan budaya. Ini pendekatan jati diri orang Melayu dan orang Islam yang kita mahu tunjukkan. Sebelum ini saya tak pernah hasilkan filem sebegini, jadi saya rasa ia juga sebahagian daripada tanggungjawab kami untuk bawa budaya Malaysia sebaik mungkin. Kalau berpeluang, kita nak angkat ke peringkat antarabangsa melalui festival-festival filem," ujarnya.

Filem penuh emosi ini dijadual menemui penonton di 70 pawagam seluruh negara bermula 2 Oktober 2025, menjanjikan sebuah pengalaman sinematik sarat dengan kasih sayang, penyesalan, pengharapan dan nilai kekeluargaan.

Menghimpunkan barisan pelakon hebat tanah air, 3 Hajat menampilkan lakonan mantap daripada Eman Manan, Amerul Affendi, Iman Aneesa dan ramai lagi.

Must-Watch Video

Advertisement