Skip to main content

Kesihatan/Kesejahteraan

"Obesiti Jejaskan Hormon Pembiakan, Bila Berat Badan Turun Peluang Untuk Hamil Meningkat" - Dr Nisa Nabila

obesiti

Program kesihatan My Body My Life tampil sebagai sebuah inisiatif baharu yang membawa mesej penting: obesiti bukan sekadar isu berat badan, tetapi penyakit sebenar yang boleh meragut nyawa.

Diterajui oleh Dr. Nisa Nabila, seorang doktor muda yang berdedikasi dalam bidang obesiti dan bariatrik, rancangan ini menjadi platform untuk mendidik masyarakat agar lebih memahami dan mengambil serius tentang kesihatan tubuh.

Advertisement

Sebagai hos My Body My Life, Dr. Nisa menggunakan pendekatan perubatan yang mudah difahami bagi menjelaskan bagaimana obesiti boleh menjejaskan pelbagai aspek kesihatan, daripada diabetes, hipertensi dan penyakit jantung, hinggalah kepada ketidaksuburan dan gangguan mental.

“Ramai melihat obesiti sebagai soal penampilan, bukan penyakit. Hakikatnya, obesiti boleh menyebabkan komplikasi serius jika tidak ditangani awal. Saya mahu masyarakat faham bahawa ini bukan tentang rupa, tetapi tentang menyelamatkan nyawa,” tegas Dr. Nisa.

Beliau menambah bahawa ramai pesakit datang mendapatkan rawatan hanya selepas mengalami kerosakan organ atau gangguan hormon yang teruk. Melalui My Body My Life, Dr. Nisa berharap dapat mendidik rakyat Malaysia untuk bertindak lebih awal — sebelum terlambat.

Dari hospital ke kaca TV

Pada usia 30 tahun, Dr. Nisa Nabila bukan sekadar doktor am, tetapi juga Ketua Pegawai Penyelidikan Bariatrik di Pusat Perubatan Cengild, institusi yang memberi tumpuan kepada rawatan dan pembedahan obesiti.

Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBCh) dari Universiti Mansoura, Mesir, melalui program berkembar dengan Universiti Manchester, UK, dan telah berkhidmat di Hospital Kuala Lumpur (2019–2022).

“Beralih daripada klinik ke set televisyen seperti menukar ruang konsultasi kepada dewan kuliah besar. Tetapi misi saya tidak pernah berubah saya mahu orang ramai faham kesihatan tanpa rasa takut atau malu,” katanya.

Dengan pengalaman merawat pesakit obesiti secara klinikal, beliau membawa kredibiliti yang kukuh ke dalam program ini. Penyampaiannya yang mesra dan jelas menjadikan topik perubatan berat seperti obesiti, hormon, dan komplikasi organ lebih mudah dihadam oleh penonton umum.

Diterbitkan oleh Sherry Sidek, My Body My Life disiarkan setiap Ahad jam 6.30 petang di TVS (saluran 122 MYTV, unifi TV, dan Astro).

Sepanjang 13 episod, program ini membongkar 13 jenis penyakit yang berpunca daripada obesiti termasuk diabetes, tekanan darah tinggi, penyakit jantung, artritis, kanser, serta isu kesuburan dan kesihatan mental.

“Kami mahu penonton sedar bahawa obesiti bukan sekadar ‘berat badan berlebihan’. Ia permulaan kepada banyak penyakit berbahaya. My Body My Life menghubungkan titik-titik ini supaya orang ramai lebih peka,” kata Sherry.

Setiap episod turut menampilkan pesakit sebenar yang berkongsi kisah perjuangan mereka, disertai pakar kesihatan yang menerangkan fakta saintifik dengan gaya mudah.

Dr. Nisa percaya bahawa kunci kepada perubahan ialah pendidikan dan tindakan awal.

“Saya mahu penonton tahu bahawa langkah kecil boleh membawa perubahan besar. Jangan tunggu sampai sakit baru bertindak. Dapatkan pemeriksaan, ubah tabiat makan, dan jangan malu minta bantuan,” pesannya.

Salah satu episod paling menyentuh hatinya ialah tentang ketidaksuburan akibat obesiti, yang menurutnya masih menjadi topik tabu dalam kalangan masyarakat.

“Ramai tidak sedar obesiti menjejaskan hormon pembiakan lelaki dan wanita. Bila berat badan turun, peluang untuk hamil meningkat. Ini fakta perubatan yang penting untuk difahami.

“Menjadi hos rancangan ini mengubah cara saya berkomunikasi sebagai doktor. Saya belajar untuk bercakap dengan empati, kejelasan, dan rasa hormat. Jika satu episod boleh menyedarkan seseorang untuk mula menjaga diri, itu sudah kemenangan,” katanya menutup bicara.

Must-Watch Video

Advertisement