Usahawan, Rozita Ibrahim berkongsi berita duka mengenai kehilangan salah seorang pekerjanya yang maut akibat dihempap sebuah pokok baru-baru ini.
Menerusi perkongsian di laman Instagramnya, dia mempamerkan beberapa gambar di kawasan tragedi tersebut yang diselubungi dengan suasana hening.
Advertisement
Difahamkan, mangsa berada di dalam sebuah kereta jenama Hilux ketika hujan lebat sebelum dihempap pokok berkenaan.
"Hujan lebat yang memilukan. Staff saya menangis teresak-esak dan tak percaya dengan apa yang berlaku di depan mata. Dalam sekelip mata, pokok besar jalan utama menuju ke genting, tumbang menghempap kereta Hilux milik syarikat saya.
"Nyawa staff kami yang masih muda diragut dalam tragedi ini. Pihak bomba bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa.
"Suasana sunyi, hanya kedengaran esakan dan raungan ibu yang kehilangan anak, ayah tua pula hanya terkaku melihat anak yang tidak akan kembali," tulisnya.
Rozita turut mempersoalkan kewujudan pihak berkuasa yang gagal menangani isu keselamatan di kawasan perusahaan dan dilihat tiada jalan penyelesaian.
"Mana pihak yang bertanggungjawab memantau keselamatan pengunjung di jalan utama. Sampai bila nyawa manusia nak dipandang ringan.
"Pokok reput dibiarkan seakan menunggu mangsa seterusnya. Pelbagai isu keselamatan diabaikan. Jangan diperdiamkan. Ini nyawa manusia bukan angka dalam laporan, katanya.
Dalam pada itu, Rozita atau mesra disapa Bonda turut berkata dia amat terkilan dengan kelemahan sistem pihak berkuasa yang membenarkan orang yang tidak berlesen membuat onar sesuka hati selain menjadikan insiden memilukan itu sebagai pengajaran.
"Sebagai pengusaha berlesen, saya terikat dengan pelbagai pemantauan ketat oleh kerajaan negeri tapi orang yang tiada lesen terus beroperasi tanpa kawalan dan tanggungjawab.
"Saya merayu jangan biarkan tragedi ini berlaku tanpa pengajaran. Di sebalik setiap angka kematian ada keluarga yang hancur, ada ibu yang kehilangan, ada ayah yang hilang kekuatan dan ada jiwa yang takkan pernah sama lagi," ujarnya.