Kementerian Pendidikan (KPM) menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti semua aspek pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pada masa sama - Pengetua, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden sekolah yang seorang pelajarnya terbabit kemalangan, ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor sehingga proses siasatan selesai.
Advertisement
"Saya mengambil perhatian kemalangan yang membabitkan seorang pelajar di sebuah sekolah di Selangor hari ini.
"Pelajar berkenaan sedang mendapat rawatan di hospital. Laporan kepada pihak polis telah dibuat supaya siasatan lanjut boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini, lapor BERITA HARIAN.
Fadhlina berkata, beliau akan memastikan siasatan dijalankan secara terperinci semua aspek berkaitan termasuk dakwaan buli dalam kejadian ini.
Dalam pada itu, SINAR HARIAN melaporkan seorang pelajar Tingkatan Tiga kini berada dalam keadaan kritikal selepas disyaki menjadi mangsa buli di asrama.
Bapa saudara mangsa Muhammad Aidil Mansor, 34, berkata anak saudaranya, Ahmad Irfan Ahmad Hanafi dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Menurutnya, keputusan imbasan CT scan mendapati anak saudaranya mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.
"Kalau betul jatuh dari tingkat tiga, mestilah patah riuk. Tapi hasil imbasan hanya tunjuk rahang sahaja yang patah. Sebab itu kami syak ada unsur buli," katanya kepada Sinar Harian.
Susulan itu, Muhammad Aidi berkata, keluarga sudah membuat laporan polis pada jam 5 pagi tadi di Balai Polis Sabak Bernam.
Pada masa sama, keluarga turut mempersoalkan tindakan pihak sekolah yang didakwa lewat memaklumkan kejadian kepada penjaga.
"Keluarga hanya dimaklumkan pada jam 4 pagi, sedangkan kejadian berlaku jam 2 pagi," katanya.
Tambahnya, pihak keluarga juga dimaklumkan lima pelajar telah ditahan polis untuk membantu siasatan, namun setakat ini masing-masing enggan memberikan keterangan.