Seorang pelarian Ukraine, Iryna Zarutska maut selepas ditikam berulang kali menggunakan pisau lipat dalam kejadian ngeri di dalam tren awam di Charlotte, North Carolina, Amerika Syarikat pada 22 Ogos lalu.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang baru didedahkan menunjukkan mangsa berusia 23 tahun itu ketakutan dan cuba menutup muka dengan tangan ketika diserang suspek, Decarlos Brown Jr, seorang lelaki gelandangan yang mempunyai rekod jenayah lampau.
Advertisement
Zarutska, yang berhijrah ke Amerika Syarikat pada 2022 untuk mencari perlindungan selepas Rusia menceroboh negaranya, dilihat cuba melindungi diri sebelum terjatuh ke lantai kira-kira 15 saat kemudian.
Beberapa penumpang lain kelihatan terkejut dan panik, namun ada yang cuba membantu termasuk memberi rawatan kecemasan (CPR) serta menekan luka mangsa menggunakan baju. Seorang lagi berlari mendapatkan pemandu tren bagi memberhentikan perjalanan
Brown kemudiannya ditahan polis sejurus keluar dari tren dengan meninggalkan kesan darah di sepanjang gerabak.
Menurut laporan, suspek yang merupakan penjenayah berulang mempunyai 13 rekod kesalahan lampau termasuk rompakan bersenjata. Dia didakwa di mahkamah negeri atas tuduhan membunuh, selain turut berdepan pertuduhan persekutuan kerana melakukan jenayah mengakibatkan kematian di sistem pengangkutan awam.
Pertuduhan itu membawa hukuman berat termasuk hukuman mati jika disabitkan kesalahan.
Pengarah FBI, Kash Patel berkata, pihaknya terus campur tangan dalam siasatan kes tersebut bagi memastikan keadilan ditegakkan.
“Serangan kejam terhadap Iryna Zarutska di Charlotte Light Rail adalah tindakan memalukan yang tidak sepatutnya berlaku di Amerika. FBI segera membantu siasatan bagi memastikan pesalah tidak dilepaskan untuk membunuh lagi,” katanya dalam kenyataan.
Sumber: NYC post