Skip to main content

Berita

Peminat Buat ‘Kacau’ Di Tayangan Perdana Wicked, Wartawan Persoal Sistem Keselamatan - “Tindakan Mereka Agak…”

Shafiqa Azmi

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki tanpa pas berjaya memasuki kawasan barikad tetamu semasa tayangan perdana Wicked: For Good di Singapura dan cuba memeluk Ariana Grande.
  • Insiden berlaku dengan pantas dan mencetuskan kekecohan sebelum lelaki itu ditahan oleh pegawai keselamatan.
  • Wartawan Astro AWANI, Shafiqa Azami, menegaskan kelemahan dalam sistem keselamatan perlu diperbaiki terutama untuk acara antarabangsa.
  • Lelaki berkenaan, Johnson Wen, 26 tahun, didakwa mengganggu ketenteraman awam selepas insiden tersebut.
  • Shafiqa berharap protokol keselamatan dipertingkatkan supaya acara antarabangsa dapat berjalan lancar dan artis global berasa selamat di Asia.

Wartawan Astro AWANI, Shafiqa Azami berkongsi detik cemas yang berlaku terhadap pelakon dan penyanyi, Ariana Grande ketika menghadiri tayangan perdana Wicked: For Good di Singapura baru-baru ini.

Menurut Shafiqa, insiden itu berlaku dengan begitu pantas dan mencetuskan kekecohan di kawasan barikad tetamu selepas seorang lelaki yang cuba memeluk Grande itu ditolak masuk ke ruang khas tersebut dan tidak memakai pas. 

“Memang semua berlaku dalam keadaan yang cepat, kurang dari 10 saat lelaki itu berada di dalam baricade kami selepas ditolak masuk oleh pegawai keselamatan. Ketika dia berada dalam baricade, kami semua mengelilinginya dan saya terus mempersoalkan dengan tegas, ‘Why are you here?! Where’s your tag?’” 

“Saya lantang meminta pegawai keselamatan untuk tarik dia keluar, tetapi tindakan mereka agak perlahan,” katanya. 

Namun keadaan bertambah serius apabila lelaki berkenaan kembali bebas dan berlari di sepanjang karpet Yellow Brick Road sebelum ditahan sekali lagi.

Shafiqa menegaskan bahawa kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku terutama bagi acara bertaraf antarabangsa yang melibatkan nama besar Hollywood serta tetamu kenamaan.

“Sebagai seorang wartawan, saya merasakan perkara sebegini tidak seharusnya berlaku kerana keselamatan adalah penting untuk semua tidak kira artis, media dan juga orang awam. 

“Kelemahan dalam sistem keselamatan harus diperbaiki kerana ia mencerminkan imej negara tersebut. Insiden seperti ini boleh menyebabkan artis global berasa kurang selamat untuk hadir ke rantau Asia,” tegasnya.

Shafiqa turut berharap agar penganjur dan pihak berwajib dapat memperketatkan protokol keselamatan pada masa akan datang demi memastikan acara antarabangsa terus dapat dianjurkan dengan lancar. 

Terdahulu, seorang individu yang dikenali sebagai Johnson Wen, 26 tahun, dilaporkan melompat penghadang keselamatan dan memeluk Ariana Grande sebelum Cynthia Erivo menariknya. 

Kejadian itu mencetuskan kebimbangan masyarakat Singapura dan peminat selebriti serta Wen menyatakan hasrat untuk mengaku bersalah. 

Lelaki warga Australia didakwa di mahkamah atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam selepas memeluk penyanyi Ariana Grande semasa tayangan perdana filem di Resorts World Sentosa.

Must-Watch Video

Advertisement