Sekilas
- Didie Shazry kini menerima lebih banyak tawaran persembahan dari Indonesia, sementara di Malaysia kebanyakannya untuk acara tertutup.
- Dia berhasrat untuk memperkenalkan namanya di Malaysia dan membawa nama negara ke peringkat antarabangsa, termasuk negara lain selain Indonesia.
- Didie akan tampil dalam acara THE CIRCLE by Marriott Bonvoy: Jejak Nada bersama artis terkenal serantau seperti Tulus dan Kris Dayanti, yang memberi sokongan kepadanya.
Penyanyi, Didie Shazry mengakui kini semakin banyak menerima tawaran persembahan dari Indonesia, sekaligus membuka peluang lebih luas untuk mengembangkan karier seninya di negara jiran.
Menurut Didie, meskipun masih menerima tawaran di Malaysia, kebanyakan undangan yang diterimanya ketika ini adalah untuk acara tertutup atau private event.
“Alhamdulillah, sekarang memang banyak tawaran yang saya terima dari Indonesia. Kalau di Malaysia itu ada, tapi kebanyakannya adalah untuk private event.
“Sebagai seorang penyanyi, saya tak kisah sebenarnya mengembangkan nama saya di mana. Bagi saya, mana-mana peluang yang datang saya akan pergi,” katanya kepada Gempak.
Dalam masa sama, Didie menjelaskan bahawa fokus utamanya tetap untuk memperkenalkan namanya kepada peminat di Malaysia, namun dia juga memasang impian untuk membawa nama negara ke persada yang lebih besar.
“Untuk sekarang sebenarnya memang saya nak nama saya dikenali di Malaysia, tapi saya juga mahu harumkan nama Malaysia.
“Kalau tanya saya, bukan sahaja Indonesia yang saya nak tawan, mungkin juga negara-negara lain,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Didie bakal muncul dalam persembahan istimewa THE CIRCLE by Marriott Bonvoy: Jejak Nada, sebuah acara yang turut menampilkan barisan artis terkenal serantau.
Antara nama besar yang akan berkongsi pentas bersama Didie ialah Tulus, Kris Dayanti dan Anggi Marito.
Mengulas mengenai peluang tersebut, Didie mengakui dia sukar menggambarkan perasaannya apabila berpeluang bertemu dan bekerjasama dengan artis-artis yang selama ini hanya dilihat dari jauh.
“Kalau cakap perasaan, memang waktu jumpa mereka hari itu saya tak tahu nak react macam mana sebab memang impian dari kecil.
“Akhirnya tahun ini tercapai juga impian untuk perform bersama artis-artis besar di Indonesia dan mereka memang humble.
“Kris Dayanti siap ucap tahniah dan Tulus pun cakap ‘congrats’ Juara 1 Raise The Star Malaysia. Rupanya mereka pun tengok,” katanya teruja.