Pemergian pengarah filem animasi terkenal Ejen Ali, Andi Abdul Ghani Kadir, 42, yang ditemukan lemas selepas jatuh ke sungai di Kampung Batu Puteh, di Kinabatangan tiada kaitan dengan insiden pergaduhan.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan D Ravi berkata, mangsa sebaliknya dipercayai secara tiba-tiba bertindak keluar dari kereta sebelum kali terakhir dilihat di jambatan sungai Kampung Batu Putih.
Advertisement
"Tidak (ada insiden) gaduh (dengan isteri).
"Tiba-tiba sampai jambatan, mangsa arahkan isteri memberhentikan kereta dan lari keluar (sebelum kali terakhir dilihat di jambatan sungai)," katanya seperti laporkan Harian Metro.
Difahamkan, mangsa dipercayai mengalami 'sakit misteri' sebelum hilang akibat jatuh ke sungai dalam kejadian petang Selasa lalu.
Semalam, akhbar melaporkan mangsa ditemukan di tepi sungai berhampiran lokasi pengarah itu dipercayai hilang selepas jatuh di sungai itu dalam kejadian petang Selasa lalu.
Mangsa bersama isterinya dikatakan dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Kota Kinabalu.
Mayat mangsa kemudian ditemukan oleh pasukan penyelamat sehari selepas dilaporkan terjun ke sungai berkenaan.
Filem animasi, Ejen Ali The Movie mula dikeluarkan pada 2019 terbitan Primeworks Studios dan WAU Animation.
Filem animasi tempatan ini mencatatkan kejayaan besar dengan kutipan pecah panggung sebanyak RM59.3 juta, menjadikannya sebagai filem animasi tempatan dengan kutipan tertinggi setakat ini.