Sekilas
- Shaziena Wahid atau Kak Nonna menarik diri dari Penyampai Emas SINAR 2026 kerana tidak dapat beri komitmen penuh akibat tinggal jauh di Ipoh.
- Pengurus Jenama Radio SINAR, Nur Azureen Affendi, memuji potensi unik Kak Nonna dalam industri penyiaran radio walaupun gaya penyampaiannya berbisik.
- Walaupun berat hati melepaskan Kak Nonna, pihak SINAR menghormati keputusan beliau yang menghadapi kekangan kerja dan keluarga.
Pengurus Jenama Radio SINAR, Nur Azureen Affendi menjelaskan sebab sebenar peserta penyampai emas SINAR 2026, Shaziena Wahid atau lebih dikenali sebagai Kak Nonna menarik diri daripada pertandingan berkenaan.
Menurut Azureen, Kak Nonna tidak dapat memberi komitmen sepenuhnya kerana tinggal jauh dari stesen radio berkenaan.
"Kak Nona Tarik diri sebab dia tinggal di Ipoh dan tidak dapat beri komitmen sepenuhnya untuk keeenam-enam minggu," katanya kepada Gempak.
Azureen berkata demikian selepas tamat pertandingan akhir Penyampai Emas SINAR 2026 serta sidang media pengenalan barisan penyampai baharu SINAR yang berlangsung di Forest Valley Hall, Cheras pada Jumaat.
Bagaimanapun, Azureen menegaskan bahawa kak Nonna mempunyai potensi yang tinggi untuk melangkah lebih jauh dalam industri penyiaran radio kerana keunikan yang dimilikinya.
"Sebenarnya dia ada potensi yang tinggi sebab saya tak pernah lihat penyampai radio sedemikian. Kalau saya dapat penyampai seperti itu dan dilengkapi dengan pakej penuh, saya percaya dia akan buat banyak perkara yang lebih menarik.
"Cara dia bercakap sangat berbeza. Meskipun gayanya jenis berbisik tetapi suaranya masih boleh didengari dan mesejnya sampai kepada kami. Kak Nona juga memiliki perwatakan yang sangat menarik dan sesuai dengan slogan kami 'Muzik Retro Terbaik'," ujarnya.
Dalam pada itu, Azureen turut mengakui bahawa pihak SINAR juga turut berat hati untuk melepaskan ahli kumpulan Freshies itu namun tetap akur dan hormati keputusannya.
“Kami berat hati melepaskan Kak Nonna. Dia sedaya upaya hadir menyelesaikan tugasan, tetapi ketika giliran ‘shift’ pada pukul 9 malam, dia tetap tidak dapat hadir. Kami memahami kekangan penyampai emas yang ada komitmen kerja dan keluarga," jelasnya.