Sekilas
- Farah Ahmad menjelaskan pilihan menonton filem di pawagam bergantung pada kemampuan individu dan bukan bermakna mereka tidak menyokong industri filem tempatan.
- Beliau menegaskan penghasilan karya tempatan perlu jelas hala tuju sama ada untuk keuntungan atau memperkenalkan budaya Malaysia kepada penonton luar negara.
- Farah lebih suka menonton di pawagam kerana pengalaman berbeza dan percaya kejayaan sesebuah filem bergantung pada izin Allah, bukan hanya bajet atau pelakon.
Pelakon, Farah Ahmad berkongsi pandangan mengenai pilihan penonton yang memilih untuk menonton filem dan drama menerusi platform penstriman dalam talian berbanding pawagam.
Menurut Farah, keputusan untuk menonton di pawagam bergantung pada kemampuan masing-masing dan bukan bermakna mereka tidak menyokong industri filem tempatan.
“Setiap orang seni yang buat persembahan dan tayangan, kami sebagai pemain pasti tujuannya adalah untuk orang melihat. Kami nak mesej itu sampai tetapi industri adalah satu perniagaan. Mereka pasti nak untung juga.
“Saya faham kadang kala sukar tarik peminat ke pawagam kerana harganya yang mahal. Saya tiga empat orang anak, minimum satu wayang dah RM150. Cuba kalau orang yang ada 10 orang anak.
“Kita kena fikir, bukan orang tak mahu pergi tetapi ikut pada kemampuan masing-masing. Saya rasa mereka bukan tak sokong tetapi keberlangsungan hidup lagi penting. Masih ramai sahaja yang pergi tengok wayang,”katanya kepada Gempak.
Farah berkata demikian ketika ditemui di program MeleTOP pada Selasa.
Aktres filem SAYANG SAYANG itu turut berpendapat bahawa penghasilan karya tempatan perlu mengambil kira hala tuju dan tujuan sesebuah produksi.
Mereka perlu berfikir sama ada karya yang dihasilkan itu adalah untuk meraih keuntungan atau memperkenalkan budaya Malaysia kepada penonton luar negara.
“Kalau ikut tahun ke tahun, genre dan gred cerita di Malaysia sudah pelbagai. Drama ke filem ke nak tak nak garapan karya itu kena tepat. Bukan sahaja kena buat marketing yang bagus tetapi kena fikir ke arah mana mereka mahu pergi.
“Kena fikir niat nak pulangan atau cerita itu dapat dihebahkan dan mesej disampaikan.
“Kalau mereka pilih pulangan, mereka akan struggle tetapi kalau untuk perkenalkan malaysia kepada orang luar atau perkenalkan Malaysia dari segi kreativiti, budaya, mereka tidak akan rasa kat malaysia ini tak ‘box office’. Dia ada padang berlainan,”ujarnya.
Dalam masa sama, Farah mengakui dirinya lebih suka menonton filem di pawagam kerana pengalaman yang ditawarkan berbeza berbanding menonton di rumah.
“Saya lebih memilih wayang kerana pengalaman itu berbeza. Kita fokus dan tempat besar. Kalau banyak duit boleh beli kerusi yang besar. Itu semua kos. Nak tak nak kena faham juga mereka nak tengok tetapi tiada duit. Kita tak tahu masalah mereka. Doakan yang terbaik,”kongsinya.
Malah, baginya kejayaan seseorang bukan terletak pada bajet atau kehebatan pelakon itu, namun bergantung pada keredaan dan keizinan Allah.
“Saya rasa pada akhirnya, ia semua dengan izin Allah. Tak kisahlah cerita itu bajet besar ke kecil, pelakon bagus atau tidak. Ada sesetengah cerita biasa sahaja tetapi meletup,”katanya lagi.
SAYANG SAYANG bakal ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober ini sebelum menggegarkan pawagam di Malaysia bermula 5 November depan.