Pendakwah bebas, Ustaz Wan Halim tampil memberi penjelasan mengenai isu sah perkahwinan yang menjadi buah mulut ramai baru -baru ini.
Menerusi temubual bersama ERA, Halim berkata sesebuah perkahwinan itu adalah sah jika memenuhi lima rukun nikah iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, saksi dua orang lelaki, muslim, baligh, berakal serta ijab dan qabul.
Advertisement
"Dan satu lagi perlu dilihat dari sudut pentadbiran undang-undang yang berkuat-kuasa dengan mendapat kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Negeri dan perlu dapat kebenarab nikah. Kalau dapat, maka nikahnya sah saja," katanya.
Ustaz tersebut menyarankan agar pengantin membuat semakan semula setiap dokumen pernikahan terlebih dahulu termasuk sijil perkahwinan.
Dia juga menyeru agar pihak bertanggungjawab sentiasa peka dengan butiran hal ehwal perkahwinan.
"Kalau boleh, kita kena lihat dulu sijil tersebut dari sudut tarikh yang tercatat pada sijil, dan kita perlu buat 'cross-check'. Jabatan Agama berkaitan perlu membetulkan tarikh pendaftaran dan merujuk pada saksi-saksi yang hadir dalam majlis pernikahan," ujarnya.
Dia turut berkata bahawa perkara tersebut sepatutnya tidak boleh berlaku kerana kebiasaannya pihak yang terlibat dalam menguruskan sijil tersebut akan melengkapkan butiran sebaik sahaja akad nikah selesai.
"Perkara ini sebenarnya tidak akan berlaku kerana penolong pendaftar nikah cerai rujuk atau TPNCR akan menulis tempat dan masa perkahwinan itu selepas angkat nikah dijalankan.
"Sekiranya ada perubahan tarikh pada awal permohonan dan butiran pemohon, dia ada satu lagi borang kosong yang kita isi hanya selepas daripada angkat nikah baru kita isi," jelasnya.
Dalam masa sama, dia turut menekankan kepentingan dalam mendapatkan kesasihan dalam hal perkahwinan terlebih dahulu dan menegaskan agar semua pihak tidak mendengar sebelah pihak sahaja.
"Perkara macam ini perlu mendapat kesasihan dahulu dan dirujuk daripada pelbagai sumber seperti pihak jabatan agama Islam, pihak saksi, pihak pengantin lelaki dan sebagainya," pesannya.
Terdahulu kecoh di media sosial apabila pelakon Uqasha Senrose mempersoalkan status perkahwinannya dengan aktor Kamal Adli berikutan tarikh pernikahan mereka didakwa tidak benar.