Sekilas
- Zarif Ghazzi pernah dikhianati oleh rakan terdekat tetapi tidak menganggapnya sebagai masalah besar selagi tidak menjejaskan dirinya.
- Dia lebih rasa sedih daripada marah dan tidak mengalami masalah kepercayaan terhadap rakan-rakannya.
- Zarif lebih suka menjadi pendengar dan jarang berkongsi cerita peribadi, serta bersyukur dikelilingi individu baik dalam industri.
Pelakon, Zarif Ghazzi berkongsi bahawa dirinya pernah dikhianati oleh rakan terdekat sebelum ini.
Bagaimanapun, pemilik nama penuh Zarif Farahi Effie Ghazzi berkata dia tidak menganggap pengalaman tersebut sebagai satu masalah besar selagi perkara itu tidak menjejaskan dirinya.
Malah, perasaan yang hadir bukanlah marah atau dendam, sebaliknya dia lebih berasa sedih dengan tindakan rakannya itu.
“Saya pernah dikhianati rakan saya sendiri tetapi saya anggap sebagai masalah biasa. Selagi ia tidak menjejaskan diri saya, saya tiada masalah.
“Namun, perasaan sedih itu akan ada. Saya bukan seorang yang pemarah sebab saya percayakan kawan saya. Saya lebih kepada sedih,” katanya kepada Gempak.
Zarif berkata demikian ketika menghadiri tayangan perdana drama Cela terbitan Viu di TGV KLCC, baru-baru ini.
Ditanya sama ada pengalaman tersebut menyebabkan dia mempunyai masalah kepercayaan (trust issue), Zarif menafikan perkara itu dan masih ingin mempercayai rakan-rakannya.
Katanya, dia lebih selesa menjadi pendengar dan tidak banyak berkongsi cerita peribadi pada orang lain.
“Saya tiada rasa trust issue. Saya utamakan keselamatan saya dengan jarang bercerita pada orang. Saya suka menjadi pendengar berbanding jadi tukang bercerita. Saya berkawan dengan semua orang,” ujarnya.
Dari segi pengalaman dalam industri pula, Zarif bersyukur kerana dikelilingi ramai individu yang baik dan sentiasa menjaganya.