Sekilas
- Seorang individu berkongsi pengalaman hampir lemas dan hanyut ketika aktiviti di Gua Tempurung, Perak, sebelum diselamatkan oleh pelakon Kamal Adli.
- Ketika itu, dia dan dua rakan sedang membuat vlog tugasan pengajian dan secara tidak sengaja menyertai aktiviti kelab peminat Kamal Adli.
- Kamal Adli mengakui tidak ingat kejadian tersebut tetapi bersyukur individu itu selamat dan berharap dapat dibantu jika berlaku apa-apa pada masa depan.
Seorang individu berkongsi pengalaman mencemaskan apabila mendakwa hampir lemas dan hanyut sebelum diselamatkan pelakon Kamal Adli ketika menyertai aktiviti di Gua Tempurung, Perak, beberapa tahun lalu.
Menerusi perkongsian di Threads, individu tersebut berkata, dia bersama dua rakan ketika itu sedang menghasilkan vlog bagi tugasan pengajian.
“Aku pernah rasa terhutang budi dan nyawa dengan Kamal Adli. Tidak tahu sama ada dia masih ingat atau tidak, beberapa tahun lalu aku dan dua kawan buat vlog untuk tugasan.
“Nak jadi cerita, aktiviti kami bertembung dengan kelab peminat Kamal Adli di Gua Tempurung. Jadi individu yang menguruskan aktiviti itu mengajak kami sertai sekali sebab kami bertiga sahaja,” tulisnya.
Menurut individu berkenaan, Kamal sempat mencapai tangannya ketika dia berdepan detik cemas tersebut.
“Dipendekkan cerita, aku hampir lemas dan hanyut, tetapi dia sempat capai tangan aku. Alhamdulillah aku selamat.
“Aku fikir nyawa sahaja waktu itu. Terima kasih, Ketua,” kongsinya.
Perkongsian tersebut mendapat respons Kamal yang mengakui tidak mengingati kejadian berkenaan, namun bersyukur individu itu selamat.
“Saya tak ingat, tetapi alhamdulillah awak selamat dan dapat menikmati kehidupan seterusnya.
“Nanti tolong saya, okey, kalau jadi apa-apa,” balasnya.
Sumber: Threads