Sekilas
- Shuk Sahar mengulas persengketaan antara Jep Sepahtu dan Shuib yang telah berkawan hampir 20 tahun.
- Shuk menegaskan orang ramai tidak patut membuat andaian berdasarkan apa yang dilihat di media sahaja kerana tidak mengetahui kisah sebenar.
- Walaupun lebih rapat dengan Shuib, Shuk menegaskan dia tiada masalah dengan Jep.
Pelawak, Shuk Sahar mencuri perhatian ramai apabila tampil mengulas mengenai persengketaan yang berlaku antara pelawak, Jep Sepahtu dan Shuib.
Menerusi perkongsian podcast Netizen Corner, Shuk atau nama penuhnya Mohamad Shukri Mohamed Sahar berkata Jep dan Shuib telah bersahabat hampir 20 tahun.
Justeru, Shuk berpendapat orang ramai tidak seharusnya membuat andaian berdasarkan apa yang dilihat di televisyen atau platform digital semata-mata kerana mereka tidak mengetahui kisah sebenar di sebalik persahabatan kedua-dua pelawak itu.
“Shuib dengan Jep ini, kalau kau dengar video terbaharu permohonan maaf Shuib itu mereka telah berkawan selama 20 tahun.
“Kita hanya tahu kisah mereka berdasarkan di TV dan Tiktok. Kita tak tahu apa yang jadi sedalam-dalam cerita,”katanya.
Mengulas lanjut, Shuk berkata meskipun dia lebih rapat dengan Shuib, namun perkara itu tidak bermakna dia mempunyai sebarang masalah dengan Jep.
“Disebabkan aku banyak dengan Shuib, kalau aku banyak keluar cerita, pastilah side aku akan banyak berat dengan Shuib. Dalam masa sama, aku tiada masalah dengan Jep,”ujarnya.