Rabbani mencipta sejarah peribadi apabila muncul dengan persembahan solo terbesar dalam konsert yang dihadiri hampir 5,000 penonton selepas hampir tiga dekad dalam industri seni muzik.
Konsert Intifada Rabbani anjuran Universe Gateway itu telah diadakan di Idea Live Arena Petaling Jaya pada Sabtu.
Advertisement
Konsert tersebut bermula pada jam 8.30 malam yang terdiri daripada anggota kumpulan Rabbani iaitu Azadan Abdul Aziz, Asri Ubaidullah, Zulkiflee Azman, Luqman Abd Aziz, Muhammad Rithauddeen, Mohamad Afandi Shahbudin dan Ahmad Shafie.
Selain paduan suara merdu kumpulan nasyid ini, konsert itu juga turut menampilkan
penyanyi jemputan iaitu kumpulan nasyid Brothers, Yabang dan Aeydan.
Lebih menarik, Rabbani muncul dengan konsep yang berbeza dengan mendendangkan lagu-lagu popular seperti Initifada, Pergi Tak Kembali, Cari Pasangan, Handzalah dan banyak lagi.
Konsert ini turut menampilkan elemen universal yang dapat dirasai oleh semua
lapisan masyarakat.
Antaranya ialah persembahan lagu ikonik Intifada yang akan dibawa dengan
susunan lagu yang baru, menekankan tema perjuangan, kebebasan dan kemanusiaan sejagat.
Visual multimedia bukan sahaja memaparkan isu Palestin, tetapi juga mesej
keamanan dan penyatuan manusia di seluruh dunia.
Selain itu, penonton juga dihiburkan dengan lagu-lagu ikonik dari vokalis utama Rabbani, Allahyarham Ustaz Asri Ibrahim yang merupakan tribute khas pada malam tersebut.
“Konsert ini kami persembahkan khas buat semua peminat yang telah bersama Rabbani
sejak 1997. Ayuh kita sama-sama mengenang Allahyarham Ustaz Asri, menyemarakkan
selawat dan meraikan cinta Rasulullah SAW dalam sebuah malam yang penuh makna
dan penuh mesej kemanusiaan,” ujar Azzadan.
Terdahulu, Universe Gateway mengumumkan bakal mengadakan konsert mega buat julung kalinya untuk kumpulan nasyid lagenda, Rabbani pada bulan September.