Sekilas
- Iman Troye berkongsi pandangan bahawa keakraban lelaki dengan keluarga pasangan tidak semestinya menunjukkan keseriusan dalam hubungan.
- Menurutnya, tindakan lelaki seperti membuat perancangan masa depan dan bertanya tentang tempoh untuk berkahwin lebih menunjukkan kesungguhan.
- Iman menegaskan lelaki perlu meletakkan pasangan sebagai salah satu tanggungjawab harian dan menunjukkan kasih sayang yang lebih daripada wanita.
Penyanyi, Iman Troye berkongsi pandangannya mengenai tanda lelaki yang benar-benar serius dalam sesebuah hubungan.
Menerusi perkongsian di Threads, Iman berpendapat hubungan rapat seorang lelaki dengan keluarga pasangan tidak semestinya mencerminkan hala tuju hubungan tersebut.
Menurutnya, jika lelaki itu memilih untuk pergi, keakraban dengan keluarga wanita tidak lagi bermakna.
"Berdasarkan pengalaman abang dan abang ipar saya, rapat dengan keluarga atau ibu bapa dah tak valid kalau nak ligat lelaki itu serius dengan kita. Kalau dia nak tinggal kita dia akan tinggal juga," tulisnya.
Pelantun lagu Teman itu turut menjelaskan, antara perkara yang benar-benar membuka matanya ialah apabila seorang lelaki mula menunjukkan kesungguhan melalui tindakan.
"Apa yang membuka mata saya ialah bila saya lihat lelaki mula buat perancangan, tanya tahun bila yang kita setuju untuk settle down, tanya boleh tunggu ke tak kalau nak kahwin lagi dua hingga tiga tahun untuk buat simpanan.
"Selain itu, utamakan kita dan mula letak kita salah satu tanggungjawab harian dia. Sama sama bagi effort. Yang penting sekali, lelaki kena sayang kita lebih dari kita sebab sifat wanita ni penyayang," ujarnya.