Sekilas
- Nabila Huda berkongsi pengalaman kurang selesa apabila dipandang serong di restoran mewah kerana berpakaian sederhana seperti t-shirt dan selipar.
- Dia turut menerima pandangan negatif daripada pelanggan lain yang membuatkan dia rasa seperti tidak dialu-alukan di tempat tersebut.
- Nabila menegaskan pentingnya layanan sama rata tanpa mengira penampilan, dan berharap semua pelanggan dilayan dengan mesra tanpa prejudis.
Pelakon, Nabila Huda berkongsi pengalaman menerima layanan kurang menyenangkan daripada restoran mewah hanya kerana dia tampil dengan pakaian yang sederhana.
Menerusi perkongsian yang dimuat naik di restoran,l, Nabila berkata dia seolah-olah dipandang serong kerana penampilannya tidak menepati suasana restoran tersebut.
“Kenapa setiap kali kita berpakaian comot masuk ke restoran mahal, kita seolah-olah dipandang dan dinilai? Kadang-kadang cuma pakai t-shirt dan selipar sahaja. Saya malas nak bersiap, tapi lipstick itu haruslah. Cuma penampilan itu mungkin tak selari dengan ‘look and feel’ restoran tersebut,"tulisnya.
Bukan itu sahaja, Nabila turut berkata ada segelintir pelanggan lain yang turut memberikan pandangan kurang senang sehingga membuatkan dirinya kurang selesa untuk makan di tempat tersebut.
"Faham tak perasaan bila dapat pandangan seperti, ‘Eh, betul ke dia nak makan sini?’ Pandangan sebegitu buat kita rasa tak selesa, sedangkan tujuan kita cuma nak makan. Malah, ada juga pelanggan lain yang memandang seolah-olah kita ini gelandangan,"katanya lagi.
Bagaimanapun, Nabila menjelaskan bahawa perkongsian tersebut bukanlah bertujuan untuk mendapatkan layanan istimewa atau dikenali ramai, sebaliknya menekankan kepentingan layanan sama rata tanpa menilai penampilan seseorang.
"Maksud saya, bukanlah saya mengharapkan orang kenal atau beri layanan istimewa.Saya tak kisah langsung menegenai itu. Apa yang saya kisah ialah cuma makanan. Dalam Malaysia, bukan hanya ada pekerja melayu sahaja, kita ada pelbagai bangsa. Jadi, kenapa kena ada tanggapan awal seperti itu.
"Tak boleh ke kalau kita dilayan sama adil. Tak boleh ke bagi senyuman semanis buah nenas walaupun pakaian itu tidak setaraf dengan pelanggan yang sering pergi ke tempat itu. Ini kerisauan saya sebenarnya,"ujarnya.