Seorang remaja lelaki di China berdepan detik mencemaskan apabila tiba-tiba bangun tanpa sebarang rasa pada badannya, dipercayai akibat tabiat harian menunduk terlalu lama.
Xiao Dong, 19, pelajar tahun ketiga di sebuah universiti di Quanzhou, wilayah Fujian, dilaporkan sering menghabiskan masa bermain permainan video dan melayari media sosial di telefon bimbit, selain bekerja sambilan ketika cuti musim panas sebagai pencuci pinggan dan mengelap meja selama berjam-jam.
Advertisement
Gabungan gaya hidup sedentari dan beban fizikal itu menyebabkan tekanan melampau pada saluran darah berhampiran tulang belakang, hingga menjejaskan peredaran darah ke saraf tunjang.
Menurut laporan media tempatan, Xiao pada awalnya mengalami kebas pada leher, lengan dan kaki, namun keadaan bertambah buruk apabila beliau bangun tidur pada 30 Julai lalu dan mendapati dirinya tidak dapat merasai apa-apa pada bahagian kaki serta hilang keupayaan untuk bergerak.
Beliau segera dikejarkan ke unit kecemasan, dan hasil imbasan mendapati terdapat gumpalan darah besar (hematoma) di tulang belakang serviks pada segmen C4-T1 yang menekan saraf tunjangnya, menyebabkan badan dari paras dada ke bawah hampir lumpuh sepenuhnya.
Doktor menjelaskan bahawa tabiat menunduk kepala dalam tempoh yang lama telah menyebabkan saluran darah dalam kanal tulang belakang terkoyak, seterusnya membentuk hematoma dan membawa kepada lumpuh akut.
Bagaimanapun, tindakan pantas pasukan perubatan yang melakukan pembedahan kecemasan berjaya menyelamatkan Xiao daripada risiko lumpuh kekal.
Beliau kini sedang menjalani proses pemulihan dan dijangka sembuh sepenuhnya.
Pakar perubatan turut memberi amaran bahawa posisi menunduk dalam jangka masa panjang boleh mengganggu peredaran darah, menyebabkan saluran darah membengkak dan melebar secara tidak normal.
“Apabila peredaran darah terganggu, ia boleh menyebabkan gejala seperti sakit kepala, pening, keletihan, serta kebas pada bahagian leher, bahu dan lengan.
"Jika dibiarkan, ia boleh membawa kepada komplikasi lebih serius seperti strok atau hemiplegia (lumpuh sebelah badan),” jelas mereka.
Sumber: Sinar Harian