Skip to main content

Selebriti

Sah Ikut Syarak! JAIP Jelaskan Status Nikah Kamal Adli & Uqasha Senrose

Kamal adli uqasha

Selepas timbul pelbagai spekulasi, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akhirnya tampil mengesahkan status pernikahan pasangan selebriti, Kamal Adli dan Uqasha Senrose, sah mengikut hukum syarak.

Memetik laporan BH Online, JAIP berkata berdasarkan Rekod Pendaftaran Nikah Negeri Pahang, pasangan itu dinikahkan pada 4 November 2021 jam 9.30 malam di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong.

Advertisement

“Majlis akad nikah dijalankan dengan persetujuan dan kehadiran wali mujbir pengantin perempuan, iaitu bapa kandungnya, Nik Sen Mat Ripin.

"Bapa pengantin perempuan mewakilkan (wakalah wali) kepada Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Kawasan Bentong 1 untuk menjalankan akad nikah itu," katanya.

JAIP turut menjelaskan majlis pernikahan tersebut dijalankan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan wabak COVID-19 ketika itu.

“Jabatan ini memperakukan bahawa akad nikah yang berlangsung memenuhi semua rukun nikah dan sah dari sudut hukum Syarak,” katanya lagi.

Pengesahan itu sekaligus meredakan spekulasi berhubung status perkahwinan pasangan berkenaan yang kini berdepan kemelut rumah tangga.

Terdahulu, menerusi satu hantaran di Instagram (IG) yang telah dipadam, Uqasha mendakwa dirinya diperbodohkan Kamal dan keluarga melalui apa yang dikatakan sebagai manipulasi tarikh pernikahan mereka.

Uqasha mendakwa dia dinikahkan pada 5 November 2021 jam 9 pagi, namun tarikh yang tertera pada sijil pernikahan menunjukkan 4 November 2021 jam 9.30 malam.
Bagaimanapun, semakan mendapati Uqasha sudah memadam hantaran berkenaan.

Sementara itu, prosiding sebutan pertama kes perceraian Kamal dan Uqasha di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan semalam ditangguhkan ke 28 Oktober ini selepas Kamal tidak hadir ke mahkamah kerana terikat dengan jadual penggambaran meskipun sudah dimaklumkan lebih awal.

Peguam syarie yang mewakili Uqasha, Nurfarhana Abd Manaf, berkata anak guamnya hadir seawal jam 9 pagi, namun prosiding tidak dapat diteruskan susulan ketidakhadiran defendan.

Must-Watch Video

Advertisement