Sekilas
- Pelakon Salina Saibi berkongsi pengalaman menyeramkan apabila didakwa diludah oleh penghuni hutan selepas bercakap besar dalam hutan belantara di Hulu Langat.
- Selepas kejadian itu, Salina mengalami alahan teruk dan kesakitan sehingga tidak mampu melakukan aktiviti harian, namun rawatan di pusat perubatan Islam membantu memulihkan keadaannya.
- Salina mengakui percaya pada perkara mistik dan menganggap pengalaman itu sebagai pengajaran untuk lebih berhati-hati ketika berada di tempat pelik dan berdoa sebelum masuk hutan.
Akibat bercakap besar ketika berada di dalam sebuah hutan, pelakon Salina Saibi berkongsi detik menyeramkan apabila dia didakwa ‘diludah’ oleh ‘penghuni’ hutan tersebut.
Pelakon berusia 44 tahun itu berkata, kejadian berkenaan memberi kesan mendalam kepada dirinya sehingga dia tidak mampu menjalankan rutin harian seperti biasa.
“Saya ada masuk satu gua kat Hulu Langat. Kalau masuk hutan, berhati-hatilah. Saya pula jenis lasak, suka masuk dalam-dalam. Saya dah masuk hutan sejak 20 tahun lepas dan hutan itu pula memang hutan belantara.
“Selalunya saya akan baca doa, tetapi waktu itu saya tak baca doa. Saya pula cakap besar dan ada kutuk orang sikit. Mungkin dia marah, Allah marah.
“Kejadian berlaku pada Jun 2024, tetapi keadaan saya mula teruk pada 2025. Saya kena alergik satu badan sampai ada bentuk tangan orang di belakang badan. Saya bukan orang yang ada alergik, tetapi waktu itu saya kena alergik yang sangat dahsyat. Saya tak cerita pada orang sebab takut penyakit ain.
“Saya sampai tak boleh jalan. Nak tekan butang flush jamban pun tak larat sebab tangan tak kuat. Bila nak sapu sampah pun terasa berat. Bila cek dengan doktor, mereka kata mungkin kencing tikus, sakit sendi, denggi dan sebagainya, tetapi sebenarnya bukan,” katanya kepada Gempak.
Salina berkata demikian ketika ditemui pada program Weekend Fete Al Aqsa Carpets di Al Aqsa Carpets Factory Outletpada Sabtu.
Selepas mendapatkan rawatan di hospital, Salina berkata dia kemudian berikhtiar dengan mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan Islam.
Apa yang mengejutkan, selepas hampir dua jam menjalani rawatan, dia mendakwa keadaannya kembali normal dan boleh bergerak seperti biasa.
“Akhirnya saya pergi ke pusat perubatan. Waktu orang itu doa, saya dengar sahaja. Dia kata saya kena ludah. Dia kata saya bernasib baik sebab tak kena muntah teruk. Dia siap tanya saya ada cakap benda tak elok atau pergi tempat pelik-pelik. Saya pun mengaku sajalah, memang ada.
“Selepas dia buang, memang hilang terus. Saya rasa seram. Rawatan itu dilakukan dalam satu hingga dua jam, dia buang dan baca. Sama macam dalam drama. Lepas itu saya sapu sampah dah kembali elok, badan pun dah elok. Semua dengan izin Allah, saya kembali normal semula,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dia percaya dengan perkara mistik, Salina berkata dia memang percaya, namun sebelum ini tidak terlalu mengambil peduli kerana tidak pernah mengalami sendiri situasi sedemikian.
“Saya percaya benda ini, tapi sebab tak pernah kena. Mungkin sebab itu saya tak ambil tahu. Saya pula ada keturunan cakap dengan jin iaitu Tamar Jalis. Instinct saya pula kuat,” kongsinya.