Pelakon, Kamal Adli reda menyambut ulang tahun perkahwinannya hari ini tanpa isteri dan anak di sisi.
Kamal atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli berkata, kebiasaannya dia akan mengambil cuti setiap kali tiba tarikh istimewa itu bagi meraikannya bersama pelakon, Uqasha Senrose.
Advertisement
"Hari ini saya punya ulang tahun perkahwinan. Tahun ni berbeza sikit sebab saya sambut seorang diri. Saya sebenarnya ambil cuti semalam, hari ini dan esok.
"Memang setiap tahun pun begitu. Cuma tahun ni tak berjaya sangat. Tapi takpe sebab jumpa ramai orang," katanya kepada Gempak.
Kamal berkongsi perkara itu ketika menghadiri sidang media drama Bahagia Yang Tertangguh di Pavilion Bukit Bintang pada Rabu.
Pelakon Kembar Siang itu berkata, dia sentiasa mengingatkan dirinya bahawa selepas hujan pasti ada pelangi dan berharap suatu hari nanti isteri serta anaknya akan kembali ke pangkuannya.
"Orang selalu cakap lima tahun perkahwinan memang mencabar. Jadi, saya selalu cakap kat diri saya ini semua dugaan hidup dan insya-Allah akan datang benda baik. Saya harap benda baik itu datang dalam bentuk isteri dan anak saya.
"Saya bukan nak meraih simpati sesiapa, biarlah orang nampak saya seperti sedang mengejar anak bini saya. Saya cuma doa yang terbaik untuk Uqasha," ujarnya.
Ditanya soal komunikasi dengan anaknya, Kamal mengakui bukan mudah untuk berjumpa anaknya dan perlu melalui orang tengah.
"Masih lagi sama seperti hari itu, saya faham perempuan memang merajuk lama sangat tapi saya okay sahaja. Nak jumpa anak tu susah sikit, tapi nak jumpa pun ada proses.
"Saya tak tahu selama ni ada proses kalau nak jumpa tapi memandangkan dia ada dalam undang-undang, saya okay sahaja," tambahnya.
Dalam masa sama, Kamal berkata kelewatannya ke sidang media tersebut adalah kerana baru pulang dari tempat dia menyambut ulang tahun perkahwinannya.
Sebelum ini, nama Kamal dan Uqasha menjadi bualan selepas timbul spekulasi mendakwa rumah tangga mereka sedang bergolak pada April lalu.
Kamal turut meluahkan rasa syukur apabila melihat ramai warganet yang mendoakan serta membantunya memujuk isterinya.
Sekadar rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira.