Sekilas
- Badrol Hanapi mengesahkan suara lelaki dalam video tular yang melibatkan isteri Shuib, Watie Hanifiah, adalah suaranya sendiri dan bukan Shuib.
- Badrol menegaskan hubungan baiknya dengan Watie sejak dahulu dan menasihatkan netizen supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan rumah tangga mereka.
- Watie menafikan dakwaan bahawa dia dan Shuib sudah kenal ketika Allahyarham Siti Sarah masih hidup dan menegaskan mereka tidak pernah mengenali antara satu sama lain pada waktu itu.
Seorang lelaki yang dikenali sebagai Badrol Hanapi tampil menjelaskan isu berhubung suara lelaki dalam sebuah video tular yang melibatkan isteri pelawak Shuib iaitu Watie Hanifiah.
Menerusi perkongsian di Threads, Badrol menegaskan suara lelaki dalam video berkenaan adalah miliknya dan bukanlah suara Shuib.
Maka, dia berharap agar netizen menghentikan segala spekulasi yang boleh menjejaskan rumah tangga Watie bersama Shuib.
“Kepada netizen, kalau saya nak jelaskan satu per satu, sampai kiamat pun belum tentu habis.
“Saya tahu apa yang saya lalui dan saya tak perlu memuaskan hati semua orang untuk percaya.
“Demi Allah, itu memang suara saya. Tetapi jangan kerana satu perkara, kita rasa berhak menghukum seluruh kehidupan orang lain. Tuan-tuan dan puan-puan, mereka sudah kahwin,”tulisnya.
Menurut Badrol, dia mempunyai hubungan yang baik dengan Watie sejak dahulu lagi, malah isterinya juga sentiasa meluangkan masa bersama Watie.
“Cukuplah berbuat dosa, cukuplah sibuk menjaga aib orang sampai terlupa aib sendiri. Watie dari dulu baik dengan saya dan isteri. Kami pernah bermain golf bersama, santai-santai, malah isteri saya sendiri ada ketika itu.
“Masa tersebut, Shuib belum kenal lagi apa itu golf, malah saya sendiri belum mengenalinya. Tapi itulah manusia, bila cerita mula tersebar, masing-masing pandai menambah perisa,”ujarnya.
Dalam masa sama, Badrol turut berpesan agar orang ramai tidak terlalu sibuk membuka aib orang lain dan hanya fokus kepada diri sendiri.
“Hormatilah rumah tangga mereka. Jangan terlalu seronok membuka cerita orang sampai kita lupa bahawa setiap kata-kata juga akan dipersoalkan di hadapan Allah.
“Tak perlu jadi manusia yang paling tahu cerita orang, cukuplah jadi manusia yang takut akan dosa sendiri,”nasihatnya.
Terdahulu, Watie menerusi hantaran di Threads tampil mempertahankan diri selepas timbul dakwaan di media sosial bahawa dia dan suaminya sudah menjalinkan hubungan ketika Allahyarham Siti Sarah Raisuddin masih hidup.
Watie atau nama sebenarnya Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 37 menafikan dakwaan tersebut selain menjelaskan mereka tidak pernah mengenali antara satu sama lain pada waktu berkenaan.