Sekilas
- Ibu saudara pelajar Tingkatan Satu, Nur Fatimatul Hawa, 13, memaafkan guru yang merempuhnya di hadapan surau SMK Tanjong Mas, dan menganggap kejadian itu sebagai takdir ALLAH SWT.
- Guru terbabit telah beberapa kali memohon maaf selepas kejadian yang menyebabkan kematian pelajar tersebut pada Ahad lalu.
- Jenazah Nur Fatimatul Hawa telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gayong, dan ibu saudaranya kini menjaga empat beradik itu selepas kematian ibu mereka lima tahun lalu.
"Saya maafkan. Lagipun cikgu banyak kali cikgu mohon maaf semasa kami berjumpa."
Demikian kata ibu saudara pelajar Tingkatan Satu, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, yang maut dirempuh oleh guru semasa memakai kasut di depan surau Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas di sini pada Ahad iaitu Zuraifah Noor, 43, ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gayong di sini pada Isnin.
Menurutnya, apa yang berlaku itu merupakan takdir yang ditentukan oleh ALLAH SWT.
Ujarnya, guru terbabit beberapa kali memohon maaf padanya semasa mereka bertemu selepas kejadian itu.
"Dia cakap gelap mata, tak tahu nak cakap apa. Sedar-sedar benda sudah berlaku.
"Saya pandang wajahnya, dia kelihatan seperti terkejut dan trauma. Apa pun ini semua takdir ALLAH, kalau marah, nanti marah pada apa yang ALLAH takdirkan.
"Kita faham, tiada orang yang mahu perkara ini berlaku," katanya.
Bagaimanapun Zuraifah memberitahu, jika cikgu terbabit serta ahli keluarga hendak datang ke rumah, dia tidak izinkan.
Katanya, buat masa sekarang biarlah dulu mereka tenang.
Ujarnya yang bekerja sendiri, Allahyarhamah Nur Fatimatul Hawa dijaganya sejak bayi lagi.
"Kakak saya, ibu kepada arwah meninggal dunia selepas bercerai. Tetapi sebelum itu memang mereka tinggal bersama saya di rumah keluarga di sini sejak kecil lagi.
"Selepas kematian ibu mereka lima tahun lalu, saya yang mengambil alih menjaga keempat-empat beradik ini," katanya.
Selain Allahyarhamah Nur Fatimatul Hawa katanya, tiga lagi adik-beradiknya ialah Nur Fatimatul Zahra, 16, Muhammad Ali Mustaqim, 15, dan Muhammad Ariff Mustaqim, 11.
Katanya, jenazah anak ketiga daripada empat beradik itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Gayong di sini jam 9.30 malam pada Ahad.
Sebelum itu Sinar Harian melaporkan seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika sedang memakai kasut di hadapan surau di sebuah sekolah di sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa yang berusia 13 tahun meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.
Sumber: Sinar Harian