Sekilas
- Pelakon Taiwan, Sasha Tang, berkongsi pengalaman bermakna ketika menjalani penggambaran filem SAYANG SAYANG di Malaysia, termasuk mempelajari bahasa isyarat dan bermain dram.
- Sasha menghadapi cabaran besar membawa watak guru bahasa isyarat dan berpeluang bekerjasama dengan pelakon pelbagai latar belakang etnik menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium komunikasi.
- Filem SAYANG SAYANG mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu, dan akan ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober sebelum ke pawagam Malaysia pada 5 November.
Pelakon Taiwan, Sasha Tang mengakui pengalaman menjalani penggambaran filem SAYANG SAYANG di Malaysia memberikan pengalaman baharu yang amat bermakna buat dirinya.
Menurut Sasha, kunjungan pertamanya ke Malaysia untuk menjayakan filem berkenaan telah membuka peluang untuk meneroka pelbagai perkara baharu termasuklah mempelajari bahasa isyarat, berenang dan bermain dram.
Antara cabaran terbesar yang dihadapinya adalah ketika membawa watak seorang guru bahasa isyarat iaitu San San.
Mengakui tugas tersebut bukan sesuatu yang mudah, Sasha berkata dia perlu memberikan komitmen sepenuhnya bagi memahami bahasa isyarat serta menghayati peranannya sebagai seorang tenaga pengajar.
“Ia merupakan satu cabaran yang besar. Mempelajari bahasa isyarat sahaja sudah cukup sukar, apatah lagi apabila perlu membawa watak seorang guru bahasa isyarat,” katanya.
Dalam pada itu, Sasha turut berkongsi keterujaannya apabila berpeluang bekerjasama dengan barisan pelakon daripada pelbagai latar belakang etnik sepanjang penggambaran filem tersebut.
Lebih menarik, kebanyakan komunikasi antara mereka dilakukan dalam bahasa Inggeris, sekali gus memberikan pengalaman berbeza buat pelakon itu.
Selain mengeratkan hubungan bersama rakan pelakon, pengalaman tersebut turut membuka ruang kepada pertukaran budaya yang meninggalkan kenangan manis buat dirinya.
Tidak hanya membawa pulang pengalaman berharga di set penggambaran, Sasha juga mengakui mula jatuh cinta dengan kepelbagaian makanan tempatan.
Antara hidangan kegemarannya ialah nasi kari, nasi lemak dan nasi kerabu yang berjaya mencuri perhatiannya sepanjang berada di Malaysia.
SAYANG SAYANG mengisahkan tiga anak muda pekak dan bisu daripada latar belakang berbeza, Ajay, Mina dan San San yang mencari identiti, impian serta tempat mereka dalam kehidupan.
Selain Sasha Tang, filem tersebut turut menampilkan Mhia Firdaus, Nandagopall Mohan, Lee Lee-Zen, Jo Kukathas, Ong Ai Leng, Farah Ahmad, Mhia Firdaus, Amir Ahnaf, Vemanna Appannah, Khir Rahman dan ramai lagi.
SAYANG SAYANG bakal ditayangkan di Taiwan pada 16 Oktober ini sebelum menggegarkan pawagam di Malaysia bermula 5 November depan.