Sekilas
- Penyanyi Azza Elite menegaskan pentingnya pihak berkuasa menangkap anjing liar untuk mengelakkan kejadian serangan terhadap kanak-kanak dan golongan kurang berdaya.
- Azza menekankan bahawa kanak-kanak, warga emas, dan orang kurang upaya lebih terdedah kepada bahaya jika diserang anjing liar kerana mereka sukar melarikan diri.
- Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, Haira Wafiqah, cedera parah selepas diserang lima ekor anjing liar dan kini menjalani pembedahan plastik untuk merawat kecederaan tersebut.
Penyanyi, Azza Elite tampil bersuara mengenai seorang kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa serangan sekumpulan anjing liar.
Menerusi perkongsian di Threads, Azza atau nama lengkapnya Noor Azzarima Zawari berkata, kejadian tersebut menjadi antara sebab pihak berkuasa perlu menangkap anjing liar bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
“Sebab itulah orang tangkap anjing liar. Sebab nak elak perkara macam ini. Anjing liar ditangkap oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terutamanya untuk menjaga keselamatan semua, terutama apabila berlaku pada kanak-kanak yang tidak terdaya melawan,”tulisnya.
Ujarnya lagi, golongan yang lebih berdaya mungkin boleh melarikan diri jika dikejar anjing, bagaimanapun keadaan mungkin berbeza bagi kanak-kanak, warga emas dan orang kurang upaya.
“Yang berdaya bolehlah lari bila kena kejar. Macam mana kalau yang dikejar dan diserang adalah kanak-kanak atau orang tua? Orang buta? Renung-renungkanlah,”ujarnya.
Terdahulu, seorang kanak-kanak perempuan, Haira Wafiqah cedera parah selepas diserang lima ekor anjing liar pada 5 September lalu.
Dalam kejadian pada pukul 7 pagi itu, Haira ditemukan dalam keadaan berlemuran darah dengan kepala terkoyak dan pipi berlubang akibat digigit anjing-anjing berkenaan.
Kanak-kanak berusia dua tahun itu kemudiannya menjalani pembedahan plastik bagi merawat kecederaan pada bahagian kepala dan wajahnya.