Sekilas
- Khairul Aming berkongsi keadaan dirinya yang mengalami dehidrasi selepas berjumpa dengan 7,000 pelanggan di restoran sulungnya.
- Dia dinasihati doktor untuk banyak minum air dan berehat secukupnya bagi memastikan kesihatan terjaga.
- Netizen meluahkan kebimbangan dan menasihati Khairul Aming supaya tidak memaksa diri dan beri perhatian lebih kepada kesihatan.
Personaliti media sosial dan pemilik restoran Rembayung, Khairul Aming mencetuskan kerisauan orang ramai selepas berkongsi foto dirinya terlantar di sebuah bilik rawatan.
Menerusi perkongsian di Threads, Khairul berkata bahawa dirinya kekurangan air sebaik sahaja dia menyantuni pelanggan di restoran sulungnya, pada Rabu.
“Selepas bergambar dengan 7,000 pelanggan, doktor suruh saya minum air banyak-banyak. Dehidrasi,” tulisnya.
Bagaimanapun, Khairul berkata bahawa dirinya dalam keadaan baik-baik sahaja.
Dia turut dinasihati untuk rehat secukupnya dan perbanyakkan minum air kosong.
“Tetapi secara keseluruhannya saya ok sahaja, cuma saya kena ada rehat yang cukup. Jangan lupa minum air ,” ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa bimbang mereka sambil menasihati usahawan kesayangan ramai itu agar memberi tumpuan lebih pada kesihatan dan tidak terlalu memaksa diri.
“Trimester pertama ni kena jaga betul-betul. Jangan lasak sangat.
“Semoga cepat sembuh KA kesayangan Malaysia.
“KA, rehat ya nak. Health is wealth. Beri ruang pada diri sendiri.
“Khairul Aming rehat sahaja. Awak pun manusia biasa yang perlukan rehat. Jangan paksa diri,” komen netizen.