Sekilas
- Ibu pelakon Meerqeen, Suraidah Hj Yacob, berkongsi rasa bangga dan kasih sayang terhadap anaknya di Threads.
- Suraidah memuji sikap Meerqeen yang sentiasa mengutamakan keluarga dalam apa jua keadaan.
- Meerqeen menyatakan pencapaian terbesarnya adalah memastikan ibu bapanya sentiasa gembira.
Ibu kepada pelakon, Meerqeen iaitu Suraidah Hj Yacob mencuri perhatian selepas memberi respon pada sebuah hantaran anak sulungnya.
Menerusi perkongsian di Threads, Suraidah berkata bahawa dia amat bangga dengan pencapaian Meerqeen, malah dia gembira dengan sikap Meerqeen yang sentiasa mendahulukan keluarga dalam apa jua keadaan.
Suraidah turut mendoakan agar Meerqeen dikurniakan rezeki yang luas selain menyatakan rasa sayang terhadap pelakon drama Thariq Ridzuwan: His Treasure itu.
“Mama sudah bangga dengan awak, abang. Anak yang baik dan selalu mendahulukan mama,ayah serta adik-beradik. Semoga Allah hebatkan lagi rezeki abang dari pelbagai penjuru. Mama sentiasa sayangkan awak,”tulisnya.
Perkongsian tersebut dibuat selepas Meerqeen atau nama penuhnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam berkongsi pencapaian yang paling digemarinya iaitu memastikan ibu dan ayahnya sentiasa gembira.
“Buat mama ayah senyum akan sentiasa jadi pencapaian kegemaran saya. Saya akan sentiasa buat selagi saya mampu,”kongsinya.