Sekilas
- Nur Fazura dan Khairul Aming menarik perhatian ramai ketika hadir di majlis persandingan Syed Saddiq dan Bella Astillah.
- Fazura memuji Khairul Aming dan mendoakan agar beliau mendapat gelaran sebagai penghargaan atas sumbangannya kepada negara dan suri rumah.
- Fazura juga kagum dengan sikap rendah diri dan budi bahasa Khairul Aming walaupun sudah berjaya dan menjadi inspirasi ramai.
Interaksi antara pelakon, Nur Fazura dan usahawan, Khairul Aming mencuri perhatian ramai ketika menghadiri majlis persandingan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq dan pelakon, Bella Astillah.
Menerusi sebuah video vlog yang dimuat naik oleh Khairul menerusi akaun Threads miliknya, Fazura meluahkan rasa gembira kerana dapat bertemu dengan Khairul, selain menitipkan kata-kata positif kepada pemilik Rembayung itu.
Malah, Fazura turut berdoa agar Khairul dikurniakan gelaran atau pangkat atas sumbangannya terhadap negara dan orang ramai terutama golongan suri rumah.
“Saya bangga dapat jumpa hero di Malaysia. Harap-harap dapat Datuk suatu hari nanti. Bukan sebab gelaran tetapi sebagai penghargaan kerana sumbangan awak kepada negara dan seluruh suri rumah di Malaysia. Semoga terus berjaya. Jom kita buat live bersama suatu hari nanti,”ujarnya.
Dalam masa sama, menjengah ke ruangan komen, pelakon filem Pisau Cukur itu turut memuji keperibadian baik Khairul Aming yang disifatkan sebagai berbudi bahasa dan rendah diri
“Habis merata dah saya memuji peribadi seorang Khairul Aming yang sudah lah sangat berjaya, kemudian menjadi inspirasi ramai namun baik pula budi pekertinya lagi merendah diri.
“Sentiasa sokong awak KA! Ok bye nak tempah meja kat Rembayung. Semoga diterima,”tulisnya.