"Sepanjang perjalanan pada hari ketiga, arwah beberapa kali menyatakan dia dalam ketakutan, bagaimanapun tidak dinyatakan apa yang dia ditakutkan," kata malim gunung yang hanya mahu dikenali sebagai Rahimi, 50.
Rahimi adalah Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang menemani Allahyarham Mustaqqeem Mansoor, 34, yang ditemukan meninggal dunia 16 Oktober lalu di puncak Gunung Liang Barat, Muallim, Perak selepas dilaporkan hilang selama dua hari.
"Saya mengiringi arwah sejak hari pertama pendakian hingga hari ketiga, walaupun arwah mengalami kekejangan otot namun dia masih boleh berjalan secara perlahan menyebabkan kami jauh ketinggalan dengan kumpulan pertama dan kedua.
"Ekspedisi Trans Temangkok mendaki Gunung Liang dilakukan secara 'compress' mengambil masa hanya tiga hari, kebiasaan ekspedisi mengambil masa antara empat hingga lima hari. Faktor terlalu mengejar masa mungkin menyebabkan arwah tertekan dan kepenatan.
"Saya bersama arwah di puncak Gunung Liang pada hari ketiga, selepas makan dan minum, kami memutuskan untuk turun kira-kira jam 10.30 malam. Keadaan arwah ketika itu agak lemah tapi masih mampu berjalan dengan pelahan," katanya.
Advertisement
Dia mendakwa, arwah dalam keadaan penat dan lemah turut berkelakuan pelik apabila seolah memerhatikan sesuatu di sekelilingnya ketika berjalan.
Menurutnya, apabila ditanya arwah menyatakan dia melihat akar pokok bagi mengelak tersangkut kaki.
Rahimi mendakwa, dia kemudian turun terlebih dahulu bagi meninjau laluan sambil menunggu arwah di laluan.
Dia berkata, dalam kegelapan malam, dia dapat melihat dengan jelas lampu yang digunakan arwah bergerak menuruni puncak Gunung Liang yang ketika itu hujan lebat dan cuaca sejuk.
Katanya, dia bergerak secara perlahan sambil menunggu arwah.
"Saya yakin arwah dapat turun tanpa sebarang masalah. Pada masa sama saya berusaha mencari kawasan terdapat talian telefon untuk menghubungi seorang lagi MGP dan penganjur," katanya.
Rahimi berkata, sebagai 'sweeper' dia tidak berniat berpisah dengan arwah sebaliknya menunggu dia di beberapa lokasi sepanjang laluan termasuk di Kem 7E.
"Saya tidak menolak kemungkinan arwah naik semula ke puncak Gunung Liang selepas beberapa meter turun, saya tidak lagi mampu berpatah balik mencari arwah disebabkan terlalu penat selain kecederaan jari kaki hingga terpaksa menggunakan selipar untuk meneruskan perjalanan.
"Saya tidak menyangka perkara buruk boleh berlaku, kegembiraan berjaya menawan puncak Gunung Liang bertukar jadi sejarah hitam dalam hidup saya selepas dua tahun sebagai MGP dan lebih 10 tahun dalam aktiviti pendakian," katanya.
Dia mendakwa menerima bayaran RM850 daripada penganjur yang menetapkan cuma tiga hari ekspedisi bagaimanapun berlarutan hingga lima hari.
Dalam kejadian pada 10 Oktober lalu, Mustaqqeem bersama lapan rakan dibantu dua MGP memulakan pendakian ke Gunung Liang bermula di laluan Bukit Fraser, Bentong.
Bagaimanapun pendaki berkenaan dilaporkan tidak pulang selepas tamat aktiviti pendakian.
Berikutan itu, isteri mangsa melaporkan kehilangannya kepada polis.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) disertai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dilancarkan.
Mayat Mustaqqeem ditemui jam jam 3.30 petang di puncak gunung berkenaan dan punca kematian disebabkan oleh hipotermia (kesejukan melampau).
Sumber: Harian Metro