Skip to main content

Berita

Taburan Hujan Rendah, Cuaca Panas Dijangka Berpanjangan Sehingga Jun

Cuaca Panas

Sekilas

  • MetMalaysia menjangka cuaca panas dan kering akan berlanjutan hingga Jun dengan taburan hujan rendah di kebanyakan kawasan di Malaysia.
  • Kawasan utara Semenanjung seperti Kedah lebih terdedah kepada cuaca panas akibat faktor geografi dan corak angin Monsun Timur Laut.
  • Orang ramai dinasihatkan minum air secukupnya, kurangkan aktiviti luar waktu tengah hari, dan berhemat dalam penggunaan air bagi menghadapi gelombang haba yang mungkin berlaku.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan cuaca panas di negara ini dijangka akan berpanjangan hingga Jun susulan keadaan atmosfera lebih kering dan taburan hujan rendah.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) MetMalaysia, Ambun Dindang berkata, Malaysia kini berada pada fasa akhir Monsun Timur Laut (MTL) dan berdasarkan unjuran model cuaca tempatan dan antarabangsa, negara dijangka mengalami pola cuaca lebih kering dengan taburan hujan lebih rendah daripada kebiasaan bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

"Semasa fasa peralihan monsun dijangka bermula hujung Mac hingga Mei, kawasan pantai barat dan pedalaman Semenanjung Malaysia, barat Sabah dan Sarawak dijangka menerima hujan terutamanya pada sebelah petang dan awal malam. Hujan ini dijangka meredakan sedikit suhu di Malaysia.

"Namun, kebanyakan stesen lain menunjukkan taburan hujan di bawah paras normal, dengan Kedah (Alor Setar, Kubang Pasu dan Langkawi) serta Papar (Sabah) masing-masing merekodkan hingga 17 hari tanpa hujan, manakala Perlis mencatatkan 15 hari tanpa hujan setakat 23 Mac,” katanya.

Ambun berkata, kawasan utara Semenanjung seperti Kedah, iaitu Pendang, Baling dan Padang Terap, lebih terdedah kepada cuaca panas berikutan faktor geografi serta corak tiupan angin MTL yang membawa lebih banyak kelembapan ke Pantai Timur dan selatan Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

"Pada Januari, tumpuan aliran angin dan sistem cuaca lebih aktif di kawasan tersebut, menyebabkan kawasan utara dan barat Semenanjung Malaysia cenderung mengalami keadaan cuaca yang lebih kering dan panas,” katanya.

Dalam pada itu, Ambun memaklumkan bahawa Malaysia tidak terkecuali daripada mengalami peningkatan kekerapan hari panas ekstrem, terutama jika dipengaruhi fenomena El Nino.

"Rekod suhu tertinggi negara menunjukkan bacaan 40.1 darjah Celsius di Chuping, Perlis pada 1998, diikuti Batu Embun, Pahang (39.3 darjah Celsius) pada 2016 dan Alor Setar (39.1 darjah Celsius) pada 1998, yang semuanya berlaku ketika fenomena El Nino kuat,” katanya.

Tambahnya, MetMalaysia mentakrifkan gelombang haba sebagai suhu maksimum harian melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, dengan amaran tahap 1 dikeluarkan pada 35-37 darjah Celsius, tahap 2 pada 37-40 darjah Celsius dan tahap 3 apabila suhu melebihi 40 darjah Celsius untuk tempoh sama.

Sehubungan dengan itu, Ambun menasihati orang ramai untuk minum air secukupnya, kurangkan aktiviti luar terutama pada waktu tengah hari, pakai pakaian sesuai dan elakkan pembakaran terbuka serta berhemat dalam penggunaan air bagi mengelakkan pembaziran.

Sumber: Sinar Harian

Anda mungkin berminat dengan

JisuLife Life 5+ Handheld Fan

JisuLife Life 5+ Handheld Fan

Harimau Malaya 2025 Jersey Youth

Harimau Malaya 2025 Jersey Youth

DESSINI 1.2L Electric Rice Cooker

DESSINI 1.2L Electric Rice Cooker

Uniqlo AIRism Cotton Oversized Crew Neck T-Shirt | Half Sleeve

Uniqlo AIRism Cotton Oversized Crew Neck T-Shirt | Half Sleeve

HNL Kerepek Pisang Masin / Banana Salted Chips

HNL Kerepek Pisang Masin / Banana Salted Chips

Must-Watch Video

Advertisement