Sekilas
- Ummi Nazeera tetap rajin pergi kelas lakonan walaupun sudah dianggap pelakon gred A untuk terus belajar dan pelbagaikan cara lakonan.
- Dia menegaskan pentingnya pemahaman watak yang mendalam supaya emosi seperti air mata keluar secara tulen dan berkesan dalam lakonan.
- Filem Langit 2 Warna yang menampilkan Ummi akan dirakam di Malaysia, Indonesia dan Mesir, dan dijangka tayang tahun depan dengan tema cinta, agama dan keluarga.
Pelakon, Ummi Nazeera berkongsi dirinya tidak lokek pergi ke kelas lakonan meskipun dilabel pelakon gred A.
Ummi atau nama lengkapnya Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainul Abidin, 36, berkata setiap pelakon mempunyai cara mereka tersendiri dalam menjayakan sesebuah watak.
Baginya, dia suka pergi ke kelas lakonan kerana boleh mempelbagaikan cara lakonan, selain suka menimba ilmu dengan guru yang lebih berpengalaman.
"Setiap orang ada cara yang berbeza. Kadang-kadang mungkin mereka belum jumpa cikgu yang sesuai dengan mereka atau sesuai dengan cara pemahaman mereka.
"Macam saya, saya sudah berjumpa dengan cikgu yang sesuai. Saya juga suka belajar daripada ramai cikgu. Buat masa ini, saya selesa dengan cikgu Fatimah Abu Bakar. Sebab kita boleh mempelbagaikan lagi cara lakonan.
"Saya sangat terbuka kepada perkara itu sebab ini sesuatu yang saya suka. Apabila kita suka sesuatu, kita mahu ada beberapa variasi, bukan hanya menggunakan satu cara,”katanya kepada Gempak.
Ummi berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pengumuman barisan pelakon filem Langit 2 Warna yang berlangsung di ibu kota, pada Rabu.
Dalam masa sama, ibu kepada dua cahaya mata itu menegaskan bahawa dia tidak akan pernah berhenti belajar dan sentiasa memerlukan penilaian seseorang terhadap kualiti lakonannya.
"Setiap karya berbeza dan pemahaman watak juga berbeza. Cara menangis untuk setiap watak juga berbeza. Air mata bukan dikeluarkan hanya kerana ingin dikeluarkan. Air mata keluar mengikut apa yang dirasai.
"Untuk saya, pemahaman untuk satu karakter itu sangat penting supaya rasa itu sampai. Sebab itu saya masih masuk kelas lakonan. Saya mahu pandangan daripada orang luar. Saya tidak akan berhenti belajar tentang lakonan,”ujarnya.
Filem Langit 2 Warna yang merupakan karya ciptaan sepenuhnya Erma Fatima itu turut menampilkan barisan pelakon hebat dari Malaysia dan Indonesia seperti Reza Rahadian, Christine Hakim, Datin Seri Paduka Umie Aida, Datuk Ahmad Tamimi Siregar dan ramai lagi.
Filem berkenaan bakal menjalani penggambaran di tiga negara iaitu Malaysia, Indonesia dan Mesir, sebelum dijangka menemui penonton pada tahun hadapan.
Naskhah yang mengisahkan tentang konflik cinta, agama dan keluarga itu akan menyaksikan Ummi memainkan watak bernama Innara.