Sekilas
- El Azman meluahkan rasa kurang senang apabila ada individu membandingkan cara dia dan bekas isteri membesarkan anak melalui DM.
- Dia menjelaskan bahawa membawa anak bercuti adalah caranya meluangkan masa dan cipta kenangan bersama mereka.
- El Azman menegaskan tiada perlu banding siapa lebih baik kerana keutamaan mereka sama iaitu memastikan anak-anak dibesarkan dengan kasih sayang.
Usahawan, El Azman meluahkan rasa kurang senang apabila ada individu yang menghubunginya menerusi direct message (DM) untuk membandingkan cara dia dan bekas isteri, Nur Amirah dalam membesarkan anak-anak.
Menerusi perkongsian di Threads, El Azman berkata dia tidak faham mengapa perkara tersebut boleh berlaku sedangkan masing-masing mempunyai cara tersendiri dalam meluangkan masa bersama anak-anak.
Katanya, membawa anak-anak pergi bercuti merupakan caranya untuk meluangkan masa selain mencipta kenangan bersama mereka.
“Macam tak faham kenapa masih ada yang perlu DM dan bandingkan cara saya dan bekas isteri jaga anak-anak. Bila saya bawa anak-anak pergi bercuti, itu cuma cara saya luangkan masa dan cipta kenangan dengan mereka,” tulisnya.
Dalam pada itu, El Azman berpesan supaya tiada pihak membandingkan dirinya dengan bekas isteri kerana keutamaan mereka tetap sama iaitu memastikan anak-anak membesar dalam suasana penuh kasih sayang.
“Tak perlu banding siapa lebih baik sebab masing-masing ada cara sendiri dalam membesarkan anak. Yang penting, anak-anak gembira, cukup kasih sayang dan tahu kedua-dua ibu bapa sentiasa ada untuk mereka,” ujarnya.