Sekilas
- Perkahwinan pasangan jurutera dan doktor dari Pune, India berakhir dengan perceraian selepas hanya 24 jam kerana tiada kata sepakat mengenai masa depan dan tempat tinggal.
- Keputusan bercerai dibuat secara matang tanpa sebarang keganasan atau salah laku jenayah, dengan persetujuan bersama kedua-dua pihak.
- Kes perceraian ini diselesaikan dengan pantas oleh mahkamah, menjadikannya antara kes perceraian terpantas pernah direkodkan.
Hanya kerana tidak sefahaman, perkahwinan pasangan jurutera dan doktor berakhir dengan perceraian selepas hanya 24 jam bernikah.
Meskipun sudah tiga tahun menyulam cinta, kasih pasangan yang berasal dari Pune, India ini terlerai hanya kerana tidak mempunyai kata sepakat mengenai perancangan masa depan keluarga serta tempat tinggal.
Menurut Rani Sonawane selaku peguam yang mengendalikan kes tersebut, keputusan untuk bercerai itu bagaimanapun dibuat secara matang tanpa sebarang untuk kegasanan mahupun salah laku jenayah.
“Tiada sebarang tuduhan keganasan. Kedua-dua pihak memilih untuk melalui proses undang-undang secara baik dan bersetuju menamatkan perkahwinan melalui persetujuan bersama,” jelasnya.
Bercerita lanjut, perpisahan pasangan ini berlaku apabila si suami memaklumkan bahawa dia tidak pasti sekiranya dapat menyediakan tempat tinggal buat isteri memandangkan dia bekerja di atas kapal.
Situasi mengenai tempat tinggal yang tidak menentu itu membuatkan si isteri merasakan perpisahan merupakan jalan terbaik buat mereka. Bukan itu sahaja, mereka juga sudah tidak sebumbung sehari selepas majlis perkahwinan berlangsung.
Kes ini kemudiannya diselesaikan dengan pantas selepas mahkamah mengambil kira garis panduan yang telah ditetapkan sekaligus menjadikan ianya sebagai antara kes perceraian terpantas pernah direkodkan.
Sumber: India Today