Pelakon, Keith Foo meluahkan kebimbangan terhadap isu moral dalam kalangan pelajar sekolah yang semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.
Keith atau nama sebenarnya Foo Chuan Chi berkata pembentukan sahsiah anak-anak bermula dari rumah dan ibu bapa perlu memantau aktiviti harian mereka.
Advertisement
"Kesedaran tentang perkara ini sebenarnya bermula dari rumah dan juga sekolah.
"Sebagai ibu bapa pun kita kena mainkan peranan penting, perlu tahu jadual anak, pergi sekolah pukul berapa dan habis sekolah jam berapa," katanya ketika ditemui Gempak.
Dalam masa yang sama, Keith berkata, kerjasama antara ibu bapa dan pihak sekolah juga perlu dilakukan untuk memantau dan menjaga keselamatan anak-anak.
"Jika sekolah tidak menjaga keselamatan keluar masuk pelajar, itu mesti disemak semula. Jadi kita perlu bersama-sama dengan guru bekerjasama untuk mengelakkan perkara yang tidak diingin berlaku.
"Takkan kita nak letak CCTV di seluruh sekolah atau letak kamera di kepala anak," soalnya.
Keith berkata demikian ketika ditemui di program MeleTOP di Astro, Bukit Jalil pada malam Selasa.
Bagaimanapun, pelakon drama Salju Rindu Di Bumi Auckland itu menegaskan bahawa industri seni bukanlah punca utama kemerosotan moral.
"Kita tidak boleh menyalahkan antara satu sama lain kerana perkara ini bermula dari rumah.
"Anak-anak sekarang mempunyai akses (internet), sekali klik sahaja dia boleh tahu macam-macam. Jadi,kita sepatutnya menyekat ia dari awal lagi.
"Pengaruh yang ada di luar sana pun salah satu faktor juga. Sebagai ibu bapa kita kena ambil tahu dan sesama kita sendiri perlu mewujudkan kesedaran," ujarnya
Terdahulu, negara digemparkan dengan berita seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat maut ditikam seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah di Selangor.
Sebelum itu, di Melaka pula, empat pelajar lelaki didakwa merogol seorang pelajar perempuan secara bergilir-gilir dan bertindak merakam perbuatan tersebut menggunakan telefon bimbit.
Sekadar info, Keith pernah mendirikan rumah tangga dengan model dan usahawan, Kim Raymond pada November 2015.
Namun, mereka bercerai pada Disember 2019 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan Skylar Raymond Foo yang kini berusia lapan tahun.
