Sekilas
- Seorang wanita berkongsi sasaran mengumpul RM4,000 dalam tiga minggu tanpa meminjam atau berhutang melalui perkhidmatan pembersihan dan penyusunan.
- Dia berjaya mencapai sasaran tersebut dengan bantuan upah kerja dan sokongan spontan daripada pelanggan serta kata-kata semangat netizen.
- Netizen turut memuji kegigihan wanita itu dan berkongsi rasa gembira atas kejayaannya menunaikan cabaran tersebut.
Seorang pengguna Threads mencuri perhatian warganet selepas berkongsi sasaran wang yang perlu dikumpulkannya bagi menyelesaikan komitmen dalam tempoh singkat.
Individu yang tidak dikenali itu menawarkan perkhidmatan pembersihan dan penyusunan, selain menegaskan dia tidak mahu meminjam atau berhutang.
“Saya tengah cuba kumpul RM4,000 dalam masa tiga minggu untuk selesaikan komitmen. Saya tidak merancang untuk meminjam atau berhutang. Saya okay sahaja dengan kerja yang ada,” tulisnya.
Bermula dengan perkongsian pada 23 Disember, wanita itu akhirnya berjaya mengumpul jumlah wang yang disasarkan dalam tempoh tiga minggu.
Kejayaan ini dicapai hasil daripada upah yang diterima serta bantuan spontan daripada individu yang menggunakan khidmatnya.
Menurut wanita tersebut dia tidak menyangka khidmatnya telah menarik perhatian ramai dan akui dia tidak boleh laksanakan tanpa bantuan dan kata-kata semangat daripada orang ramai.
"Sejujurnya saya tidak boleh buat tanpa kalian, Terima kasih sangat sebab sudi ambil upah saya dan beri kata-kata semangat. Ia sangat bermakna buat saya.
"Kadang-kadang saya rasa penat gila tetapi bila balik rumah dan baca komen korang terus rasa hilang penat. Saya minta maaf terpaksa tolak bantuan duit sebab saya anggap ini cabaran untuk diri saya. Korang semua berjaya buat saya nangis," ujarnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen turut meluahkan rasa gembira mereka dengan kejayaan wanita tersebut sambil memuji kegigihannya.
"Ia adalah update yang kami semua tunggu. Tahniah sis.
"Kami semua menunggu update awak. Bangga dengan awak.
"Tahniah, saya suka orang yang berusaha.
"Tahniah, kerja keras akhirnya berbaloi," komen netizen.