Sekilas
- Aliff Aziz menegaskan bahawa rezeki yang diterimanya sebagai pelakon teater Mansur & Liu adalah ketentuan Allah dan tidak patut dipertikaikan oleh sesiapa.
- Dia menghormati keputusan penonton sama ada mahu menonton teater tersebut atau tidak, dan memilih untuk fokus pada komitmen dalam menghidupkan wataknya.
- Aliff juga mengakui pernah membaca komen negatif di media sosial tetapi tidak mahu membuang tenaga memikirkan perkara di luar kawalannya.
Pelakon, Aliff Aziz tampil mengulas mengenai ancaman segelintir pihak yang cuba memboikot teater Mansur & Liu arahan M.Nasir hanya kerana hal peribadinya.
Menurut Aliff, dia percaya dengan ketentuan Allah dan menganggap setiap rezeki itu tidak patut dipertikaikan dari mana-mana pihak.
Katanya, keputusan untuk menonton teater tersebut adalah pilihan peribadi masing-masing, malah dia menghormati setiap keputusan yang dibuat.
“Saya sangat memegang konsep rezeki. Saya dapat watak ini bukan sebab saya bagus tetapi alhamdulillah ini rezeki yang Allah dah tulis. Saya tak berhak untuk pertikaikan rezeki saya dan semua orang juga tiada hak mempertikaikannya juga.
“Tengok atau tidak itu semua pilihan peribadi dan saya menghormatinya. Saya fokus dengan rezeki yang diberi dan menggalas dengan sehabis baik. Sama ada dapat tempat di hati penonton, saya serahkan kepada tuhan.
“Jadi, saya tidaklah rasa pressure dan menitikberatkan mengenai hal itu kerana ia diluar kawalan saya. Sebagai pelakon, tugas saya adalah menghidupkan watak saya. Selebihnya saya serahkan pada tuhan,”katanya kepada Gempak.
Aliff yang memegang watak sebagai Sultan Mansur Shah menerusi teater Mansur & Liu berkata demikian ketika menghadiri program MeleTOP pada Selasa.
Dalam pada itu, pelantun lagu Sayang -Sayang itu turut mengakui dirinya pernah membaca komen-komen di Threads mengenai dirinya, namun dia tidak mahu terlalu memikirkan mengenai hal tersebut dan hanya memberi tumpuan pada tugas hakikinya.
“Saya ada sahaja baca kat komen tetapi selepas itu saya sedar tiada gunanya saya mengisi minda saya yang sepatutnya isi dengan tugas. Saya tak nak buang tenaga perkara yang di luar kawalan. Itu semua adalah pendapat.
“Betul atau tidak kita tak boleh tentukan. Komen mereka tidak menggambarkan diri saya yang sebenar. Rezeki saya datang pada Allah. Saya akan beri komitmen 100 peratus,”ujarnya.
Sebelum ini, maestro muzik tanah air, Datuk M.Nasir mempertahankan pemilihan Aliff Aziz sebagai pelakon utama bagi teater arahannya yang berjudul Mansur & Liu.