Sekilas
- Kamal Adli berasa terharu dapat berjumpa dengan anaknya, Hawra Uqaira, selepas lebih dua minggu tidak berjumpa.
- Perjumpaan singkat itu sangat bermakna dan Kamal berterima kasih kepada bekas isterinya, Uqasha Senrose, kerana memberi peluang untuk meluangkan masa bersama Hawra.
- Kamal akan memanfaatkan setiap masa lapang untuk bertemu Hawra demi memastikan hubungan mereka kekal erat walaupun selepas perceraian mereka baru-baru ini.
Pelakon, Kamal Adli meluahkan rasa terharu apabila akhirnya dia berpeluang berjumpa dengan anak kesayangannya, Hawra Uqaira selepas lebih dua minggu tidak berjumpa.
Menurutnya, meskipun perjumpaan dengan Hawra adalah singkat namun ianya cukup bermakna buat dirinya.
“Hari ini, sebelum datang ke sini (pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026), saya sempat berjumpa dengan Hawra. Sebab itu saya lambat tadi kerana saya meluangkan masa bermain dengannya.
“Seronok sangat selepas lebih kurang beberapa minggu tidak berjumpa,” katanya kepada Gempak.
Kamal berkata ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Jakel Raya 2026 dan pengumuman Duta Paling Mega Jakel di Jakel Mall, hari ini.
Dalam masa sama, Kamal turut menzahirkan penghargaan kepada bekas isterinya, Uqasha Senrose kerana memberi peluang kepadanya untuk meluangkan masa bersama Hawra.
“Apabila dapat berjumpa dengannya hari ini, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Uqasha kerana memberi peluang kepada saya untuk meluangkan masa bersama Hawra.
“Jadi hari ini saya rasa sangat gembira, memang gembira. Tadi dapatlah saya beberapa jam antara 2 petang hingga 5.30 petang tadi,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Kamal berkongsi bahawa dia hanya bermain di kawasan perumahan Uqasha berikutan keadaan Hawra yang tidak mengizinkan.
“Tidak, saya bermain di bawah sahaja. Sebab saya tengok dia macam sudah nak kena ‘chicken pox’. Jadi tadi dia tidak memakai baju.
"Saya hanya bermain-main dengannya tanpa di taman permainan di bawah rumah sahaja,” jelasnya.
Kamal turut berkata dia akan memanfaatkan masa yang ada sepenuhnya hanya untuk bertemu dengan anaknya bagi memastikan hubungan mereka sentiasa terjalin.
“Sekarang ini, setiap kali saya ada masa lapang saya akan berjumpa. Kebetulan hari ini memang saya lapang, saya baru sahaja sampai dari Kuantan dan saya terus pergi jumpa Hawra dahulu.
“Bila ada sahaja masa terluang sekarang ini, saya memang akan cuba cari ruang dan masa untuk berjumpa dengan Haura, itu sahaja.
“Setiap kali turun ke Kuala Lumpur, memang saya akan jumpa anak dahulu. Sebab selepas itu saya perlu bergerak semula untuk sambung penggambaran di Lumut pula,” tambahnya.
Terdahulu, Kamal menerusi perkongsian di media sosial berkongsi rasa rindu yang mendalam apabila sudah lama tidak bertemu Hawra.
Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, pada Isnin lalu.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dalam sebuah majlis tertutup di Janda Baik, Pahang.
Hasil perkahwinan berkenaan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia setahun lapan bulan.