Sekilas
- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq, menegaskan bahawa anjing jalanan juga makhluk ciptaan Tuhan dan tidak patut didera atau disakiti.
- Beliau menyeru agar isu serangan anjing terhadap kanak-kanak dan warga emas diberi perhatian serius dan tindakan segera diambil.
- Syed Saddiq mengingatkan supaya ancaman daripada segelintir anjing tidak dijadikan alasan untuk menyiksa atau membunuh semua anjing jalanan.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq tampil mengulas mengenai penderaan dan kekejaman terhadap haiwan khususnya anjing jalanan.
Menerusi Threads, Syed Saddiq berkata bahawa anjing juga merupakan makhluk ciptaan Tuhan dan tidak sepatutnya didera ataupun disakiti.
“Anjing jalanan juga merupakan makhluk ciptaan Tuhan. Tiada haiwan yang didera atau dibunuh sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi jika ia tidak mendatangkan ancaman,”tulisnya.
Dalam masa sama, Syed Saddiq turut menegaskan agar isu serangan anjing terhadap golongan seperti kanak-kanak dan warga emas turut diberi perhatian dan mendapatkan penyelesaian segera.
“Pada masa sama, ketakutan kanak-kanak dan warga emas yang pernah dikejar atau diserang anjing juga perlu diambil serius. Setiap aduan wajar ditangani dengan segera,”ujarnya.
Syed Saddiq bagaimanapun memohon agar tidak menjadikan ancaman serangan anjing sebagai alasan untuk menyiksa haiwan tersebut.
“Namun, ancaman daripada segelintir anjing tidak boleh dijadikan alasan untuk menghukum atau membunuh semua anjing jalanan. Satu ketidakadilan tidak seharusnya dibalas dengan ketidakadilan yang lain,”jelasnya.