Pegawai Perubatan Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Queen Elizabeth (HQE) Dr Janefer Voo memberitahu Mahkamah Koroner di sini, bahawa beliau menerima pesakit perempuan bernama Zara Qairina Mahathir yang dalam keadaan tidak sedarkan diri pada jam 4.38 pagi 16 Julai lalu.
Dr Janefer merupakan saksi ketiga dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina yang berlangsung pada minggu kedua di hadapan Koroner, Amir Shah Amir Hassan.
Advertisement
Menurut beliau, pesakit tersebut telah dijumpai di tingkat bawah asrama sekolah dan hasil pemeriksaan mendapati selain tidak sedarkan diri, bahagian belakang kepala pesakit cedera, bengkak dan berdarah.
"Pesakit patah tulang tertutup pada pergelangan tangan kiri, patah tulang terbuka pada buku lali sebelah kaki kiri dan patah tulang tertutup pada buku lali sebelah kaki kanan.
"Selepas pemeriksaan dijalankan, 'Trauma Alert' telah diaktifkan di Jabatan Kecemasan HQE pada jam 4.42 pagi pada tarikh sama untuk rujukan segera kepada pasukan daripada Jabatan Neurosurgeri, Ortopedik, Pembedahan, dan Anestesiologi. Sementara proses resusitasi dilakukan kepada pesakit ini.
"Hasil pemeriksaan saya, pesakit disyaki mempunyai kecederaan otak yang teruk terdapat kecederaan pada bahagian belakang kepala dan patah tulang pada kedua-dua buku lali dan pergelangan tangan kiri, dan disyaki mempunyai pendarahan dalaman," katanya ketika membaca keterangan bertulis di sini pada Selasa.
Dalam kenyataannya juga menyatakan bahawa disebabkan tekanan darah mangsa terlalu rendah, pesakit disyaki mengalami kecederaan dalaman 'due to High Impact' pada badan yang menyebabkan pendarahan dalam badan.
"Hasil pemeriksaan saya, tiada sebarang kesan lebam atau tanda penderaan pada tubuh pesakit, hanya ada kecederaan pada bahagian belakang kepala dan patah tulang di tangan kiri dan kedua-dua buku lali.
"Selepas proses resusitasi dan pengimejan dilakukan, pesakit didapati mengalami pendarahan pada otak, kepatahan tulang terbuka pada buku lali kiri dan tumit kiri, kepatahan tulang tertutup pada tulang tangan kiri dan kaki kanan, tulang belakang lumbar dua, tiga dan empat patah dan darah beku pada tulang pinggul dan otot psoas kiri," katanya.
Sumber: Sinar Harian