Sekilas
- Tabung Haji (TH) mengingatkan bakal jemaah supaya hanya menggunakan 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen untuk elak penipuan dan masalah semasa di Tanah Suci.
- Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-5 (KHUP5) di KLIA menawarkan pelbagai pakej haji 1448H/2027M serta aktiviti menarik dari 9 hingga 11 Oktober 2026.
- Pengunjung boleh dapatkan maklumat rasmi, perkhidmatan kewangan patuh syariah, pemeriksaan kesihatan percuma dan hiburan termasuk persembahan nasyid serta kemunculan BoBoiBoy.
Lembaga Tabung Haji (TH) mengingatkan umat Islam yang berhasrat menunaikan ibadah haji supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pakej daripada individu atau syarikat yang tidak mempunyai lesen sah.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, bakal jemaah perlu memastikan segala urusan dibuat menerusi 34 Pengelola Jemaah Haji (PJH) berlesen bagi mengelakkan risiko penipuan serta masalah ketika berada di Tanah Suci.
“Bakal jemaah hendaklah memastikan segala urusan perjalanan dibuat melalui saluran yang sah dan diiktiraf bagi mengelakkan risiko penipuan serta masalah ketika berada di Tanah Suci.
“TH tidak pernah melantik mana-mana individu atau syarikat lain sebagai ejen bagi menawarkan pakej haji melainkan 34 syarikat PJH yang dilesenkan,” katanya.

Mustakim turut menasihatkan bakal jemaah supaya menyemak maklumat dengan teliti menerusi sumber rasmi TH dan PJH berlesen sebelum membuat sebarang bayaran.
Peringatan itu disampaikan sempena Karnival Haji, Umrah dan Pelancongan Kali Ke-5 (KHUP5) yang berlangsung di Mövenpick Hotel & Convention Centre, KLIA, Sepang bermula 9 hingga 11 Oktober 2026.
Mengangkat tema ‘Tiada Visa, Tiada Haji’, karnival tersebut menawarkan pelbagai pakej haji bagi musim 1448H/2027M daripada 34 PJH berlesen.

Sementara itu, Presiden BUMITRA Malaysia, Dr. Wan Muhamad Adam Wan Norudin berkata, sambutan terhadap KHUP5 amat menggalakkan apabila lebih 52,230 muat turun bahan digital direkodkan menerusi laman sesawang rasmi karnival berkenaan.
Jumlah itu merangkumi e-Brosur Pakej Haji 1448H/2027M dan Majalah KHUP5, selain lebih 862 pra-pendaftaran secara dalam talian.
Selain mendapatkan maklumat mengenai pakej haji dan umrah, pengunjung turut berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk Simulasi Haji Cilik, pertandingan mewarna dan kuiz interaktif.
Karnival tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan kumpulan nasyid The Rayhan, Rabbani dan Ezad Lazim serta kemunculan istimewa watak animasi popular, BoBoiBoy.
Pengunjung juga boleh mendapatkan perkhidmatan kewangan patuh syariah, pengurusan harta pusaka dan pemeriksaan kesihatan percuma daripada institusi serta rakan strategik yang mengambil bahagian.
Maklumat lanjut mengenai KHUP5 dan pakej haji yang ditawarkan boleh didapati menerusi laman sesawang rasmi khupmalaysia.com.
