Skip to main content

Selebriti

"Turunkanlah Ego Itu" – Raja Azura Rayu Bekas Suami Segera Selesaikan Tuntutan Nafkah Anak

RAJA AZURA

Pengacara dan pelakon, Raja Azura menutut tindakan segera dari bekas suami, Adzmin Osman bagi menyelesaikan tuntutan nafkah anak-anak mereka yang tertunggak sejak 15 tahun lalu.

Raja Azura atau Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin berkata afidavit tanpa serah sudah dihantar kepada Adzmin melalui kakak ipar lelaki itu, namun bekas suaminya enggan memberi kerjasama.

"Kakak ipar responden satu-satunya orang yang boleh dihubungi. Orang lain, termasuk bapa mentua sendiri pun tak boleh hubunginya.

"Jadi, afidavit tanpa serah itu diserahkan kepada Adzmin melalui biras saya.

"Namun, Adzmin beritahu kakak iparnya supaya simpan saja afidavit itu dengan alasan sibuk di Kuantan. Pahang. Ini bermakna dia tahu mengenai tuntutan nafkah anak.

"Apabila saya hubungi semula biras untuk bertanya sama ada Adzmin sudah menandatangani afidavit itu, dia beritahu supaya saya pulangkan semula dokumen berkenaan."katanya ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, hari ini, bagi sebutan pertama kes tuntutan nafkah berkenaan.

Raja Azura turut berkata, dia tidak berhasrat memanjangkan isu itu dan berharap Adzmin dapat memberikan kerjasama supaya perkara berkenaan dapat diselesaikan secara baik tanpa perlu turun naik mahkamah.

"Saya mohon Adzmin turunkanlah ego itu dan beri kerjasama supaya benda ini selesai secara baik. Saya tak nak panjangkan kes ini.

"Kalau dia beri kerjasama dari awal, mungkin semuanya sudah selesai," katanya.

Tambah pelakon drama Pendekar itu, dia sebenarnya sudah lama cuba berbincang secara baik dengan bekas suami, namun tiada sebarang maklum balas diterima selepas pendedahan dibuat menerusi radio Suria FM pada Julai lalu.

"Kalau dia tak nak jumpa saya, dia boleh jumpa pengurus saya, Juanz Wan, yang juga sepupu saya. Tapi dia tak nak.

"Jadi saya terpaksa guna cara mahkamah. Saya pun tak suka turun naik mahkamah sebab tak nak menyusahkan mana-mana pihak.

"Sebelum buat keputusan ini, saya dah minta kebenaran daripada bapa mentua dan alhamdulillah, beliau faham serta izinkan," katanya.

Walaupun mengakui proses tuntutan nafkah itu bakal panjang dan mencabar, Raja Azura tetap yakin mampu bersabar dan bertenang melalui segala proses yang ditetapkan mahkamah.

"Saya dah bertahan 15 tahun, takkanlah sebulan dua ni saya tak boleh tunggu.Saya belajar daripada pengalaman hidup. Kita ikut saja proses yang diperintahkan mahkamah.

"Saya pun kalau boleh tak nak benda ini kecoh, tapi sebab saya selebriti, orang nak tahu. Mungkin ini satu-satunya cara untuk panggil dia secara rasmi," ujarnya.

Katanya, fokusnya kini adalah kepada masa depan dan pembelajaran anak-anak, selain mahu isu nafkah yang tertunggak diselesaikan mengikut saluran undang-undang.

"Saya tak nak buang masa. Anak-anak pun masih belajar, jadi biarlah mahkamah keluarkan perintah. Saya dah buat bahagian saya," katanya lagi.

Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan 3 Disember depan bagi peguam mewakili Raja Azura menghantar laporan penyampaian ganti kepada Adzmin, selepas serahan notis pertama gagal dilakukan.

Terdahulu, Raja Azura telah memfailkan permohonan permohonan kebenaran pelaksanaan penghakiman pada 10 September lalu berkaitan nafkah tiga anaknya yang didakwa culas membayar mengikut perintah mahkamah sejak mereka bercerai 15 tahun lalu.

Raja Azura dan Adzmin mendirikan rumah tangga pada 2001 dan bercerai pada 28 September 2010.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Megat Muhammad Raziq, ,Megat Luqman Haqim, dan Puteri Mia Maizura, 20.


Sumber: BHOnline

Topik Berkaitan

Must-Watch Video

Advertisement