Sekilas
- View Chin menjelaskan bahawa kenyataannya sebelum ini hanya meluahkan rasa kecewa kerana tidak dibenarkan bertemu anak-anak, bukan mempertikaikan penjagaan bekas isteri, Shermine Ah Moi.
- Beliau menafikan dakwaan memiliki kad akses kediaman Shermine secara tidak sah dan menjelaskan kad tersebut diberikan sendiri oleh Shermine sebelum dikunci.
- Shermine pula menafikan menghalang View Chin bertemu anak-anak dan mendakwa beliau melanggar perintah mahkamah dengan tidak memberikan notis awal sebelum mengambil anak.
Usahawan dan pempengaruh media sosial, View Chin tampil memperbetulkan dakwaan netizen berhubung isu melibatkan dirinya dan bekas isteri, Shermine Ah Moi.
Menerusi perkongsian di Instagram, View Chin menjelaskan bahawa kenyataannya sebelum ini hanya meluahkan rasa kurang senang apabila dia tidak dibenarkan bertemu anak-anak, dan bukannya mempertikaikan cara Shermine menjaga mereka.
"Bila aku cakap ibu dia sakitkan anak dia, bila aku cakap ibu dia tak buat yang terbaik untuk anak dia. Topik saya sekarang ini dia dah janji nak bagi saya jumpa anak dan ambil anak tetapi dia abaikan dan dia tak balas mesej saya. Dia bawa anak dia hilang," tulisnya.
Ujarnya lagi, dakwaan tidak berasas netizen seperti itulah yang akan mengeruhkan keadaan dan mengelirukan banyak pihak.
"Orang seperti ini memang batu api. Disebabkan banyak orang seperti inilah, semua orang akan salah faham. Tak boleh faham ke? Semua video itu cakap pasal anak. Aku tak cakap dia tak sayang anak atau dia tak jaga baik anak. Kamu susah faham," ujarnya.
Dalam masa sama, View Chin turut menjawab persoalan mengenai kad akses kediaman Shermine yang didakwa dimilikinya secara tidak sah.
VIew Chin menegaskan bahawa kad tersebut bukanlah kad curi seperti yang didakwa netizen, malah diberikan sendiri oleh Shermine.
"Ada yang tanya mengenai kad. Ini adalah kad masuk rumah Shermaine. Dia ada hak untuk lindungi property dia dan boleh lock sendiri lah tetapi kad ini saya sendiri yang buat," jelasnya.
Bagaimanapun, kad tersebut telah dikunci sehingga menyukarkan dia untuk berinteraksi dengan Shermine dan anak-anak.
"Kad ini dia bagi pada saya sebab dulu dia sangat sibuk dan banyak kerja. Hari minggu dia tiada kat rumah. Dia sendiri suruh saya pergi, kalau tak saya tiada dapat kad ini. Tetapi sekarang kad ini sudah di lock dan saya tak dapat cari dia. Saya tak curi pun kad ini," katanya lagi.
Terdahulu, View Chin menerusi beberapa video mendakwa bekas isterinya membawa anak-anak dan menghalangnya daripada bertemu mereka, selain menyekat kad akses ke kediaman.
Bagaimanapun, Shermine menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan dia tidak pernah menghalang bekas suaminya daripada berjumpa anak-anak.
Menurut Shermine, View Chin juga didakwa melanggar perintah mahkamah kerana tidak memberikan notis awal selama seminggu sebelum urusan mengambil anak.