Sekilas
- Seorang wanita warga emas berusia 65 tahun di Nonthaburi, Bangkok, mengejutkan ramai apabila didapati masih hidup di dalam keranda sebelum upacara pembakaran dijalankan.
- Wanita tersebut, Chonthirat Sakulkoo, disahkan meninggal dunia oleh pihak berkuasa selepas tidak bergerak selama dua tahun, namun dia bergerak dan bernafas semasa majlis pengebumian berlangsung.
- Upacara pembakaran dihentikan serta-merta dan wanita itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan, kemudian dibenarkan pulang setelah disahkan masih hidup.
Seorang wanita warga emas mengejutkan suasana di majlis pengebumian atau pembakaran apabila ‘hidup semula’ di dalam keranda.
Warga emas berusia 65 tahun itu bergerak di dalam keranda sejurus sebelum dibakar di sebuah kuil di Nonthaburi, Bangkok pada hujung minggu lalu.
Menurut kronologi, seorang pekerja kuil Wat Rat Prakongtham, sedang membuat siaran langsung ritual pembakaran sebagai sebahagian daripada servis komuniti apabila ‘mayat’ wanita itu bergerak di dalam keranda.
Pekerja tersebut telah membuka tutup keranda sebelum melihat warga emas itu bergerak dan bernafas. Majlis pengebumian kemudian dihentikan sebelum wanita tersebut dibawa ke hospital, lapor The Bangkok Post.
“Saya mendengar seperti satu ketukan yang agak perlahan dari dalam keranda. Apabila saya buka, saya lihat dia bergerak dan membuka mata,” katanya.
Warga emas tersebut dikenali sebagai Chonthirat Sakulkoo. Sebelum ‘meninggal dunia’, dia yang sakit tidak boleh bergerak selama dua tahun. Kesihatannya semakin merosot sebelum disahkan meninggal dunia selepas didapati tidak bergerak di kediamannya.
“Saya menjaga kakak sejak tiga tahun lalu. Pihak berkuasa di kampung mengesahkan dia telah meninggal dunia.
“Kami hanya menjalankan proses seperti biasa selepas melengkapkan dokumen kematian. Jadi kami letakkan kakak di dalam keranda dan bawa ke kuil untuk dibakar,” ujar adik lelakinya, Mongkol Sakulkoo.
Sakulkoo kini sudah kembali ke rumah selepas menjalani pemeriksaan di hospital dan diumumkan masih hidup.