Seorang warga emas berstatus duda memberi alasan kepenatan selepas menyambut ambang merdeka ketika dicekup bersama pasangannya seorang janda dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah (OCJS) pada awal pagi Ahad.
Kedua-dua mereka antara 16 individu yang ditahan dalam operasi yang dilakukan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di beberapa buah hotel sekitar bandar Melaka.
Exco Pendidikan Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama, Datuk Rahmad Mariman berkata, pasangan lelaki berusia 65 tahun dari Segamat, Johor, dan wanita berusia 49 tahun yang berniaga kedai makan di negeri ini ditahan selepas didapati bersekedudukan di sebuah bilik hotel.
Menurutnya, soal siasat mendapati warga emas terbabit datang ke Melaka untuk menziarahi ibu pasangannya yang sakit sebelum kedua-duanya ke pusat bandar untuk menyaksikan pertunjukan bunga api sambutan Hari Kebangsaan.
"Pasangan itu mengakui mendaftar masuk hotel untuk berehat selepas kepenatan menyambut ambang merdeka dan berhasrat menonton perbarisan esok.
"Kedua-duanya merayu supaya tidak diambil tindakan kerana malu jika diketahui oleh anak-anak yang telah dewasa," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Jelas Rahmad, operasi yang bermula jam 12.30 tengah malam hingga 5 pagi itu turut menahan pasangan kekasih warganegara Indonesia yang masih bujang berusia 25 dan 27 tahun.
Rahmad berkata, lelaki yang bekerja sebagai operator pengeluaran kilang di Muar, Johor, datang ke Melaka sempena cuti hujung minggu dan menginap di hotel untuk melepaskan rindu bersama kekasihnya yang juga bekerja operator pengeluaran kilang di Batu Berendam.
Menurutnya, lelaki warga asing itu memberi alasan bertemu kekasihnya kerana mereka jarang dapat berjumpa atas faktor lokasi berjauhan dan kesibukan.
Katanya, dalam operasi itu seramai lapan pasangan yang ditahan berusia antara 25 hingga 65 tahun termasuk lima rakyat tempatan dan 11 warga asing.
"Kesemua mereka yang ditahan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 53, Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekedudukan tanpa ikatan sah.
"Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan dan mereka kemudian dilepaskan dengan jaminan selepas diambil keterangan," katanya lagi.
Tegas beliau JAIM akan meneruskan operasi berkenaan sebagai langkah membendung gejala sosial dan maksiat, termasuk isu kehamilan luar nikah yang semakin membimbangkan.
Sumber : Sinar Harian
Berita
Warga Emas Dicekup Khalwat Bersama Janda, Beri Alasan Penat Sambut Ambang Merdeka
