Sekilas
- Kesemua sukarelawan misi Global Sumud Flotilla 2.0 termasuk 10 rakyat Malaysia yang sebelum ini diculik di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete dilaporkan selamat tiba di Istanbul, Turkiye.
- Pesawat khas yang disediakan kerajaan Turkiye membawa mereka mendarat sekitar pukul 3 pagi dan keputusan sama ada mereka akan meneruskan pelayaran atau pulang akan ditentukan oleh jawatankuasa pemandu Sumud Flotilla.
- Masih terdapat dua sukarelawan yang belum dibebaskan dan ditahan oleh tentera rejim, menyebabkan seruan agar orang ramai terus menunjukkan solidariti terhadap misi tersebut.
Kesemua sukarelawan misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 termasuk 10 rakyat Malaysia yang sebelum ini diculik di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece, dilaporkan selamat tiba di Turkiye.
Perkara itu dimaklumkan menerusi perkongsian di laman Facebook Rahmat Sumud Nusantara yang menyatakan pesawat membawa mereka mendarat di Istanbul sekitar pukul 3 pagi tadi.
“Alhamdulillah ayahanda Haji ZRA Strim dan 180 sukarelawan sudah selamat mendarat di Istanbul pukul 3 pagi selepas diculik IOF di perairan antarabangsa.
“Apakah mereka akan meneruskan pelayaran atau pulang itu akan ditentukan oleh jawatankuasa pemandu (steering committee) Sumud Flotilla,” menurut hantaran tersebut.
Dalam perkembangan sama, dimaklumkan masih terdapat dua sukarelawan yang belum dibebaskan dan ditahan oleh tentera rejim, sekali gus mencetuskan seruan agar orang ramai terus menunjukkan solidariti terhadap misi berkenaan.
Sebelum ini, media melaporkan seramai 175 aktivis termasuk rakyat Malaysia yang menyertai GSF 2.0 telah diculik di perairan antarabangsa sebelum dilepaskan di Pelabuhan Lera Petra di Kepulauan Crete.
Menurut Ketua Pengarah SNCC, Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby, kesemua aktivis berkenaan kemudian dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Heraklion dengan menggunakan bas yang disediakan oleh pihak Greece.
Kerajaan Turkiye dilaporkan menyediakan pesawat khas bagi membawa pulang sebahagian aktivis kemanusiaan, termasuk membuka peluang kepada peserta lain untuk menaiki penerbangan sama ke Istanbul.
Pesawat tersebut dijangka berlepas sekitar pukul 10.15 malam waktu Malaysia sebelum selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada malam yang sama.